ALOR SETAR 7 Nov. – Rekod sebagai antara banduan paling lama dipenjarakan tidak pernah menjadi satu kebanggaan kepada bekas banduan, Jamil Ahmad malah titik hitam itu digunakan sebaiknya bagi menyampaikan teladan kepada masyarakat terutama golongan remaja.
Jamil, 67, dari Kuala Nerang tidak berasa malu untuk menceritakan kembali pengalaman di sebalik tirai besi kerana baginya, ia adalah tanggungjawab dalam memberi kesedaran kepada masyarakat adalah lebih utama.
Katanya, pengalaman itu diharapkan menjadi motivasi kepada pelbagai lapisan masyarakat terutama golongan remaja dalam menghindari sebarang kegiatan jenayah termasuk gejala sosial seperti dadah.
“Saya sedih mengenangkan nasib anak muda apabila melihat ramai terlibat dalam jenayah terutama dadah. Justeru saya rasa terpanggil untuk berkongsi kepahitan hidup terkurung selama hampir 31 tahun di dalam penjara.
“Tanggungjawab ini saya pikul sebagai amanah untuk menyedarkan masyarakat supaya tidak terlibat dengan apa-apa jua kegiatan jenayah kerana ia merosakkan diri dan tidak boleh dibanggakan serta kesannya sangat buruk,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurutnya, dia mula menerima jemputan untuk memberi ceramah motivasi di sekolah, institusi pengajian tinggi dan program agensi kerajaan sejak dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh, Selangor pada 3 Oktober 2006.
“Saya berkongsi kisah hidup tentang betapa ruginya masa muda saya apabila dipenjarakan pada usia 26 tahun dan telah pun berusia 56 tahun ketika dibebaskan.
“Antara kenangan cukup membuatkan saya menyesal adalah apabila tidak dapat melihat jenazah ibu bapa saya dan paling kesali adalah tidak dapat membalas jasa mereka,” kata bapa kepada seorang anak lelaki itu.
Sementara itu, katanya, baru-baru ini, dia menerima jemputan untuk berkongsi pengalamannya itu menerusi satu program di Bernama TV.
“Saya ingin terus berbakti kepada masyarakat dengan memberi ceramah motivasi ini kerana bagi saya, inilah kebaikan yang boleh saya sumbangkan buat masyarakat,” katanya.
Jamil dibebaskan dari penjara apabila mendapat pengampunan Sultan Kedah ketika itu, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah selepas dipenjara selama 30 tahun 11 bulan dan sembilan hari.
Turut dibebaskan bersama Jamil, rakannya, Mohd. Salleh Taib, 59, yang kedua-duanya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 1976 kerana terbabit dalam rompakan bersenjata di Baling, Kedah ketika masing-masing berusia 26 dan 27 tahun waktu itu.
Mohd. Salleh meninggal dunia kira-kira enam tahun lalu pada usia 63 tahun akibat sakit tua di rumah adik perempuannya, Fatimah, 45, di Kampung Sungai Lilin, Pokok Assam, Taiping.
Kepada individu mahupun organisasi yang ingin memanggilnya untuk memberi ceramah motivasi boleh menghubungi Zainal Aziz Md. Zain di talian 010-2072057.










