ALOR SETAR 13 Nov. – Pegawai kepada Exco negeri yang didakwa menggertak dan memberi amaran kepada golongan imam dan ahli jawatankuasa masjid di Kuala Muda baru-baru ini menafikan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya itu.

Individu berkenaan yang juga bekas Ahli Parlimen Jerai, Mohd. Firdaus Ja’afar berkata, tidak akan sama sekali berbuat demikian kerana perkara itu hanya akan mencemarkan imej kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mendapat mandat rakyat baru-baru ini.
“Katakan kepada mereka yang membuat tuduhan, serang exco sudahlah. Tak perlu serang pegawainya kerana kami ini tiada apa-apa.
“Dalam majlis dimaksudkan itu, saya sama sekali tidak menengking, menggertak atau memberi amaran kepada para imam dan ahli jawatankuasa masjid. Cumanya saya mengambil ketegasan seperti dititahkan oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sebelum ini yang tidak mahu supaya masjid dijadikan sebagai medan politik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam sidang DUN semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Hanif Ghazali dan ADUN Pantai Merdeka, Ahmad Fadzli Hashim mendakwa pegawai kepada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) negeri, Datuk Dr. Ismail Salleh bersikap melampaui batas dengan menggertak dan memberi amaran kepada golongan imam serta ahli jawatankuasa masjid di Daerah Kuala Muda, baru-baru ini.
Menurut Mohd. Firdaus, teguran itu dibuat setelah beliau menerima maklum balas dari ramai pihak yang terhadap beberapa perkara di mimbar masjid sehingga berlaku laporan polis.
“Saya sendiri pernah ke sebuah surau yang melaksanakan solat Jumaat dan khatibnya mengkritik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof dengan agak melampau.
“Maka saya adakan majlis ramah mesra tersebut untuk mengingatkan mereka tentang perkara yang telah sedia maklum. Majlis itu berlangsung dengan baik malah tiada seorang pun yang datang dan menghalang saya dari pergi ke masjid mereka seperti didakwa,” katanya.
Sementara itu katanya, beliau dalam majlis itu turut menegaskan yang yang pihak mereka sama sekali tidak akan berkompromi sekiranya ada dalam kalangan golongan ustaz dari PH menjadikan masjid sebagai medan untuk menyerang kepemimpinan pembangkang.
“Masjid bukan pentas politik. Kalau yang menyalah gunakan masjid itu datang dari pihak PH sekali pun, kami di pihak Exco akan ambil tindakan.
“Begitu juga dalam majlis itu saya tegaskan, kalau Mujahid meluluskan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kami dulu akan ke depan menghadap beliau dan tak perlu tunggu orang lain. Tak ada soal gertak-menggertak,” katanya. – UTUSAN ONLINE










