KUALA LUMPUR 10 Nov. – Seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan yang dipercayai mengalami penderaan fizikal dan seksual maut pagi semalam selepas dua hari bertarung nyawa ketika mendapatkan rawatan di Hospital Serdang sejak Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, ibu bapa mangsa yang menetap di Bandar Baru Bangi telah menghantar bayi tersebut ke rumah pengasuh pada waktu pagi dalam keadaan yang baik.
Bagaimanapun menurutnya, pada sebelah petang ibu mangsa mendapati bayi tersebut sesak nafas dan dikejarkan ke Klinik Bandar Baru Bangi sebelum dirujuk ke Hospital Serdang.
Ujarnya, pemeriksaan susulan terhadap mangsa yang berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan mendapati, terdapat kesan koyakan baharu pada selaput dara selain dubur mangsa.
“Pihak hospital telah mengesahkan mangsa meninggal dunia pada Jumaat pukul 10.30 pagi iaitu dua hari selepas dirujuk ke Hospital Serdang. Bedah siasat ke atas jasad mangsa telah dijalankan di Hospital Serdang.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah impak tumpul pada kepala yang mana tempurung kepalanya pecah dan terdapat kesan lebam pada bahagian atas kepala kiri dan kanan.
“Selain itu, terdapat juga kesan penderaan seksual ke atas bayi dan kematian mangsa dipercayai mempunyai unsur-unsur perlakuan jenayah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ahmad Dzaffir berkata, tangkapan telah dilakukan ke atas pengasuh dan suami pengasuh yang masing-masing berumur 28 tahun dan 36 tahun yang juga tinggal di kawasan perumahan sama dengan ibu bapa mangsa.
Jelasnya, mereka mula menjaga bayi malang tersebut sejak September lalu.
Katanya, suami pengasuh tersebut yang bekerja sebagai penggunting rambut dan positif methamphetamine telah dibawa ke Mahkamah Kajang semalam dan direman selama lima hari sehingga Selasa depan.
“Kes pada awalnya diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Setelah mangsa meninggal dunia, kes telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh,” ujarnya.
Tambah Ahmad Dzaffir, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Mohd Radzee Jamudi di talian 0196655811. – UTUSAN ONLINE










