KUALA SELANGOR – Seorang bayi lelaki antara 41 penduduk dari Kampung Seri Sentosa di sini dipindahkan ke pusat pemindahan berikutan banjir yang melanda kampung itu malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd. Noor berkata, semua penduduk daripada 12 buah keluarga itu ditempatkan di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields yang dibuka mulai pukul 11.50 malam.
Katanya, penduduk dipindahkan terdiri daripada 12 lelaki dewasa, perempuan dewasa (11), kanak-kanak lelaki (7), kanak-kanak perempuan (2), warga emas lelaki (2), warga emas perempuan (6) dan seorang bayi lelaki.
“Banjir di kampung itu dipercayai akibat limpahan air dari sungai berdekatan berikutan hujan lebat lewat petang semalam sehingga paras air meningkatkan secara mendadak dan dilaporkan naik ke tahap bahaya sekitar pukul 8 malam.
“Seterusnya operasi memindahkan penduduk oleh agensi keselamatan digerakkan bagi menjamin keselamatan penduduk,” katanya.
Shamsul berkata, pihaknya akan terus memantau situasi banjir di kampung berkenaan di samping memastikan kebajikan penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan tersebut.
Sebelum ini, kampung yang sama dilanda banjir membabitkan 25 mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Banjir Masjid At Taufiqiyah pada 11 Oktober lalu. – K! ONLINE










