KUALA LUMPUR 11 Nov. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas bunga api, mercun dan minuman keras bernilai RM23.3 juta menerusi Ops Deepavali yang dijalankan di seluruh negara bermula 15 Oktober hingga hari ini.
Penolong Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) JKDM, Datuk Azimah Abd. Hamid berkata, dalam tempoh 28 hari itu pihaknya menjalankan sebanyak 3,380 pemeriksaan membabitkan serbuan ke atas premis, sekatan jalan raya serta rondaan air dan darat.
Ujar beliau, sejumlah 382 kertas siasatan dibuka membabitkan pelbagai kesalahan dan daripada keseluruhan kes berkenaan, sebanyak 170 kes dikompaun dengan jumlah kompaun sebanyak RM539,354 manakala 186 kes lagi masih dalam siasatan.
“Daripada jumlah keseluruhan kes, sebanyak 22 kes adalah tangkapan membabitkan 1,054 kilogram mercun dan bunga api pelbagai jenama bernilai RM17,252 iaitu lapan kes daripadanya dikompaun sebanyak RM9,450.
“Bagi tangkapan membabitkan minuman keras pula, sebanyak 119 kes dihasilkan melibatkan sebanyak 231,460.89 liter minuman keras bernilai RM1.65 juta,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas Azimah, sebanyak RM7.9 juta nilai cukai berjaya diselamatkan dan dari jumlah kes terbabit sebanyak 60 kes dikompaun dengan nilai kompaun sebanyak RM141,244.
“Selain itu, sebanyak 202 kes membabitkan tangkapan rokok dihasilkan dengan anggaran rampasan sebanyak 26.4 juta batang rokok.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM1.8 juta dengan RM13.9 juta jumlah cukai berjaya diselamatkan manakala 87 kes daripadanya dikompaun sebanyak RM344,090,’’ ujarnya.
Tambah beliau, operasi tersebut merupakan inisiatif JKDM untuk menyekat penyeludupan, penyimpanan dan pengedaran barangan belum lulus kastam terutamanya mercun serta bunga api yang kebiasaannya meningkat ketika musim perayaan.










