KUALA LUMPUR 4 Nov. – Lebih 1,500 orang berhimpun secara aman bagi membantah usaha untuk mengiktiraf Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Himpunan yang digerakkan hasil inisiatif pelbagai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis sosial dan parti politik bertujuan menentang usaha mengiktiraf polisi bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Perhimpunan bermula di pekarangan Masjid Jamek, Kampung Baru di sini dengan semua peserta berkumpul sejak pukul 12.30 tengah hari sebelum berarak menuju pusat beli-belah Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman sambil kedengaran laungan ‘bantah ICERD’ dan ‘pertahankan kepentingan Melayu’.
Para peserta turut mengibarkan kain rentang dan pelbagai sepanduk tertera seruan bantahan sebagai memprotes usaha pihak tertentu mengiktiraf ICERD.
Keadaan cuaca panas ternyata tidak menjadi halangan bagi para peserta yang dilihat teguh mempertahankan pendirian mereka menolak sebarang campur tangan luar yang menggugat hak kepentingan agama Islam dan orang Melayu.
Antara yang hadir ialah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan dan Ketua Pemuda Pas, Muhamad Khalil Abdul Hadi.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Razlan Rafii mengingatkan barisan kepemimpinan kerajaan agar tidak sesekali mencabuli hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, tindakan pihak terbabit kononnya memperjuangkan dasar dan kepentingan hak asasi manusia, sesekali tidak boleh diterima umum memandangkan masyarakat pelbagai kaum di negara ini telah pun menjalani kehidupan secara harmoni sejak awal kemerdekaan.
“Adakah selama ini wujudnya keadaan penindasan terhadap kaum minoriti oleh orang Melayu? Sekian lama kita hidup bersatu-padu, harmoni, namun perkara itu tidak disenangi segelintir pihak yang sebenarnya cuba sebarkan fahaman liberal dan sekular bertujuan menghakis hak istimewa orang Islam dan kepentingan Melayu.
“Kita berhimpun hari ini bukan atas dasar satu agama dan bangsa, malah mewakili semua kaum di Malaysia yang telah menjalani kehidupan saling menghormati dan memahami selama ini,” katanya dalam ucapan sempena perhimpunan tersebut.










