KUCHING 3 Nov. – Bank Rakyat bukan hanya menumpukan kepada produk perbankan malah soal tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan aktiviti Kelab Nuri di seluruh negara.
Menurut Ketua Pemasaran dan Komunikasinya, Nizam Sani, pelbagai aktiviti telah dirancang setiap minggu bagi ahi Kelab Nuri sehingga tamat sekolah nanti.
Katanya, seramai 600,000 keahlian Kelab Nuri di seluruh negara yang mana sekitar 60,000 murid dari Sarawak.
“Pelbagai aktiviti diadakan berasaskan pendidikan yang menyeronokkan kepada ahli seperti bermalam di muzium dan akuarium ikan serta di Kampung Budaya Sarawak yang diadakan pada minggu ini.
“Selepas ini, program CSR kami bersama penghidap autisme akan dijalankan yang mana kira-kira 20,000 anak-anak istimewa telah dibantu dalam pelbagai aktiviti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi pertemuan bersama media bagi memberi penerangan berkaitan inisiatif menghargai sokongan pelanggan dan pihak berkepentingan di sini semalam.
Yang turut hadir, Ketua Komunikasi Korporat, Nizam Abu Samah.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga mengambil bahagian dalam Festival Regata Sarawak untuk kali ketiga sebagai usaha menyokong sukan air popular itu.
“Bank Rakyat juga giat mempromosikan ‘Kempen 7 Bulan dan 11 Bulan Akaun Deposit-i Berjangka yang berakhir pada 31 Disember hadapan.
“Selain itu, Pembiayaan Peribadi-i Awam turut terbuka kepada kakitangan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan dengan kadar keuntungan serendah 3.19 peratus juga ditawarkan yang mana antara produk terbaik di pasaran,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










