Banjir kilat: Lima termasuk kanak-kanak diselamatkan - Utusan Malaysia

Banjir kilat: Lima termasuk kanak-kanak diselamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Nov. – Lima mangsa termasuk kanak-kanak dan warga emas diselamatkan selepas terperangkap di dua buah rumah dalam banjir kilat di Kampung Batu 10, Hulu Langat, dekat sini malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tun Hussein Onn, Mohamad Akmal Mohamad Khairi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu menerusi pesanan aplikasi WhatsApp serta status dimuat naik mangsa di Facebook kira-kira pukul 7.30 malam, semalam.

“Sebanyak 20 pegawai dan anggota dari BBP Tun Hussein Onn dan BBP Kajang serta pasukan bomba sukarela dari Gombak, Taman Sri Serdang dan Kepong dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Hasil maklumat daripada penduduk, lima mangsa termasuk seorang kanak-kanak berusia setahun dan lelaki warga emas berusia 60-an berjaya diselamatkan menggunakan bot sebelum ditempatkan di pusat pemindahan di Balai Raya Batu 10,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut Mohamad Akmal, sebanyak 60 penduduk terdiri daripada 19 keluarga terpaksa ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara di Balai Raya Batu 10 dan juga Sekolah Kebangsaan Sungai Serai.

Tambahnya, pasukan bomba sukarela turut menyalurkan makanan dan minuman kepada penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan itu selain memantau keadaan paras air di kawasan berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN