KUALA TERENGGANU 6 Nov. – Penduduk di kawasan berisiko banjir diingatkan agar tidak terus bersikap ‘tunggu dan lihat’, dengan segera berpindah jika dinasihatkan berbuat demikian dalam keadaan cuaca yang buruk.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Left. Kol. (PA) Che Adam A Rahman, langkah itu bagi mengelak terperangkap dalam kecemasan jika paras air menjadi kritikal dan menyukarkan kerja menyelamat.
“Dalam masa yang sama kita meminta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) memainkan peranan penting bersama agensi- agensi kerajaan dan Pejabat Daerah dalam mempercepatkan proses perpindahan.
“MPKK memainkan peranan penting bersama agensi kerajaan dan pejabat daerah
bagi percepatkan proses pemindahan.. berpindah awal sebelum air naik ke paras kritikal,”ujarnya di sini hari ini.
Sementara itu, skuad sukarelawan Terengganu yang terdiri daripada gabungan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan digerakkan dalam masa terdekat bagi menghadapi kemungkinan banjir di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, buat masa ini segala perbincangan, kursus dan perjumpaan dari semasa ke semasa telah diadakan dengan kumpulan terbabit bagi menyelaras gerak kerja banjir agar lebih efisyen dan bersistematik.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri belum menetapkan bilangan sukarelawan yang akan ditempatkan di setiap daerah kerana akan ditentukan berdasarkan keperluan.
“Kita mempunyai NGO yang berkepakaran termasuk dalam pemanduan pacuan empat roda (4×4), komunikasi, kemanusiaan dan bencana alam.
“Jadi kita akan kumpulkan kesemuanya seperti yang telah dilakukan mereka sebelum ini agar mereka dapat terus menyumbang khidmat seperti biasa pada tahun ini. – UTUSAN ONLINE










