KUALA LUMPUR 4 Nov. – Polis sedang mencari kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang membantu mangsa kes baling tayar basikal dari tingkat atas Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi itu, Muhammad Iqmal Abdul Razak, 18, cedera di kepala akibat terkena objek terbabit yang dipercayai dibuang dari blok 41, PPR terbabit.

Ini merupakan kes ketiga yang dilaporkan melibatkan tindakan membuang barang dari atas bangunan pada tahun ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Noor Azmi Yusoff berkata, akibat kepalanya terkena tayar basikal tersebut, mangsa yang ketika itu berada di bahagian meletak motosikal, terbaring dan hampir pengsan sebelum dibantu anggota DBKL yang berada di kawasan berkenaan.
“Anggota DBKL itu turut membawa fork basikal dan tayar yang terkena kepala mangsa. Akibat kejadian tersebut mangsa mendapat 15 jahitan di kepala,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Noor Azmi, selain mengesan anggota DBKL berkenaan, pihaknya juga sedang mencari saksi yang melihat kejadian.
Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.










