KUALA LUMPUR 12 Nov. – Polis masih menunggu laporan forensik berkaitan kes baling tayar basikal dari tingkat atas Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia di sini, pada 2 November lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, punca sebenar kes sedang disiasat dan tiada tangkapan lain buat masa ini.
“Kita sedang tunggu laporan forensik dahulu untuk mengenal pasti punca kejadian sebelum siasatan lanjut dilakukan,” katanya selepas program Komuniti Kepolisan di Publika Solaris Duta Mas, di sini hari ini.
Sebelum ini, akhbar melaporkan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun nyaris maut selepas terkena tayar basikal yang dibuang dari tingkat atas dalam kejadian di Blok 41 PPR Gombak Setia di sini.
Susulan itu, mangsa, Muhammad Iqmal Abdul Razak, terpaksa menerima 15 jahitan di kepala selain luka pada bahagian siku.
Sebelum ini, Mazlan mengesahkan telah mengambil keterangan lapan individivu termasuk enam kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung kes tersebut.
Dalam perkembangan lain, Mazlan mengesahkan tiada laporan berkaitan penyelewengan dana bantuan Rohingya dilaporkan setakat ini.
Akhbar Mingguan Malaysia pada Ahad lalu melaporkan terdapat banyak program bantuan Rohingya yang diseleweng. – UTUSAN ONLINE











