SEPANG – Pengendali kursus Ibadat Haji disaran supaya memberikan penerangan terperinci mengenai situasi sebenar dan cabaran yang bakal dilalui bakal-bakal haji semasa berada di Tanah Suci dalam kursus-kursus kendalian mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, gambaran sebenar termasuk kemungkinan bencana perlu diterangkan supaya bakal-bakal haji dan keluarga bersedia dengan sebarang kemungkinan.
“Selain memberi asas kefahaman yang tepat tentang kewajipan haji serta hukum-hakam haji, mereka juga perlu menceritakan perkara yang di luar konteks haji seperti perkara-perkara di luar jangka yang mungkin terjadi.
“Ini penting agar bakal-bakl haji tidak meletak sebarang ekspektasi terlalu tinggi dan bersedia untuk menghadapi pelbagai suasana berbeza serta kemungkinan berlakunya krisis atau bencana yang tidak diduga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-35 Bagi Musim Haji 1440H yang dihadiri lebih 300 Pengkursus Ibadah Haji di sini hari ini. – Bernama










