KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat di sini semalam bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’ dengan strategi bagi mengembalikan kedudukan ekonomi Malaysia sebagai Harimau Asia.
Bajet tahun depan yang memperuntukkan sebanyak RM314.5 bilion adalah yang paling besar dalam sejarah negara menumpukan tiga fokus utama iaitu melaksanakan reformasi institusi, memastikan kesejahteraan rakyat dan memupuk budaya negara keusahawanan.
“Daripada jumlah tersebut, RM259.8 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus dan RM54.7 bilion lagi adalah untuk perbelanjaan pembangunan. Peruntukan ini tidak termasuk simpanan luar jangka berjumlah RM2 bilion.
“Kerajaan Persekutuan telah menstrukturkan semula pendekatan belanjawan melalui Zero-Based Budgeting iaitu sistem belanjawan berasaskan sifar belanjawan,” kata Guan Eng di Dewan Rakyat.










