Kita boleh sahaja tersenyum atau ketawa apabila membaca kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkaitan punca berlakunya perceraian dalam kalangan pasangan muda.
Kalau mengikut kenyataan beliau, berdasarkan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, semuanya melibatkan isu yang remeh temeh. Bayangkan berebut rancangan televisyen pun boleh bercerai, apa lagi kita mahu kata. Itu belum lagi punca remeh lain yang kalau didedahkan sepenuhnya kepada umum membuktikan betapa jahil pasangan muda terlibat dalam mengharungi alam perkahwinan.

Masa bercinta bukan main lagi, semua nampak sehati sejiwa, sikap buruk pasangan dipejamkan kononnya tolak ansur, baju pun pakai sedondon, `apa yang you suka, itu yang i suka’ termasuklah rancangan televisyen, dalam kereta makanpun suap menyuap lagi, bila pasangan mahu hantar baju untuk dibasuh di kedai dobi layan diri sanggup teman lagi walaupun sudah tengah-tengah malam buta.
Makanan pula masa bercinta, bila pasangan masak semua sedap belaka, kalah air tangan ibu sendiri, maklumlah nak ambil hati kekasih. Bila si lelaki beritahu dia ada tabiat tidur berdengkur, si kekasih terima sahaja dengan jawapan `masa i tidur, i dah tak dengar apa dah’. Paling seronok dilihat, masa bercinta, pegang tangan kekasih tak lepas-lepas. Masa makanpun sebelah tangan menyuap, sebelah tangan lagi pegang tangan kekasih – macamlah pasangan tu hendak lari. Pergi kursus perkahwinan pun sama-sama, tetapi entah dengar entah tidak apa yang para ustaz-ustaz sampaikan.
Selepas tiga bulan berkahwin, perangai sebenar pasangan mula diketahui, masa itulah kita akan lihat sejauh mana pasangan muda ini memahami erti sebuah perkahwinan. Mulalah perkara remeh remeh yang sebelum ini diterima seratus peratus ketika di alam percintaan kini bertukar menjadi petaka kepada rumah tangga.
Perkara yang dianggap keburukan pasangan mula terdedah satu persatu. Bak kata orang, mulalah cinta akan terbang melalui jendela. Ada sahaja perkara remeh yang menjadi punca perkelahian atau pergaduhan dalam rumah tangga dan paling malang apabila suami `panas baran’ silap-silap masuk hospital isterinya.
Semua ini berlaku kerana sejak awal lagi, sebahagian mereka menempuh perkahwinan tanpa memahami apa itu pernikahan dan tanggungjawab sebagai suami atau isteri. Sebab itulah ada dalam kalangan suami isteri masih lagi berperangai seperti orang bujang walaupun sudah berkahwin.
Yang suka lepak di restoran tengok bola sepak atau berborak-borak dengan kawan-kawan terus melakukan aktiviti tersebut manakala si isteri pula lebih kurang sahaja perangai sudah ada suami,buat cara macam tidak ada suami. Akhirnya rumah tangga menjadi lintang pukang.
Walaupun kita boleh tersenyum atau ketawa apabila membaca isu remeh yang menjadi punca penceraian pasangan muda, tetapi soal keruntuhan rumah tangga bukanlah perkara remeh. Ia perlu ditangani dengan lebih serius kerana institusi perkahwinan tidak boleh dibiarkan hancur dan musnah hanya kerana pasangan tidur berdengkur atau pasangan suka basuh baju waktu malam.
Kursus perkahwinan sedia ada perlu dikaji semula. Ketika ini majoriti yang hadir kursus tersebut semata-mata mahu memenuhi syarat untuk bernikah sahaja. Apa kepentingan kursus berkenaan tidak dititik beratkan. Sebab itulah kita mendengar cerita, ada pasangan muda yang mahu berkahwin, niat mandi junub pun tidak tahu.
Mungkin ia nampak kecil tetapi sebuah rumah tangga tidak boleh diwujudkan hanya berdasarkan `aku cinta kau, kau cinta aku’ atau sekadar `mengharamkan yang halal’, tetapi jauh lebih daripada itu, kita mahu melahirkan generasi keluarg Islam yang baik.
Dan sebagai umat Islam, tidak malukah kita apabila membaca isu remeh yang menjadi punca penceraian tersebut. Apa yang berlaku ini secara langsung boleh menjejaskan imej agama Islam. Justeru jabatan-jabatan agama perlu mencari kaedah bagaimana mahu memantapkan pemahaman berhubung perkahwinan kepada pasangan muda.
Memang benar jodoh, pertemuan, ajal maut di tangan Allah, tetapi Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu kalau kita tidak mengubah sendiri dan paling penting janganlah berkahwin semata-mata dibaluti cinta yang bergelora kerana ia belum tentu membawa bahagia. – UTUSAN ONLINE










