Badan utama pesawat Lion Air JT610 belum dijumpai - Utusan Malaysia

Badan utama pesawat Lion Air JT610 belum dijumpai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA 4 Nov. – Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas), Muhammad Syaugi memaklumkan bahawa bahagian badan utama atau fiuslaj bangkai pesawat Lion Air JT610 yang terhempas pada pagi Isnin lalu masih belum ditemukan ketika operasi mencari serta menyelamat (SAR) sudah masuk hari ke­tujuh.

Detik News me­laporkan, pasukan pe­nyelamat hanya menemukan serpihan badan pesawat selain mereka juga belum menemukan perakam suara kokpit (CVR).

“Kami masih belum mene­mukan badan utama pesawat tersebut dan kami berharap ia akan ditemukan dalam masa terdekat bagi memudahkan siasatan lanjut dilakukan.

“Setakat ini, pasukan penyelamat masih menggunakan kenderaan kawalan jauh bawah air (ROV) untuk mengesan badan pesawat ber­ke­naan dan kende­raan itu sudah me­langkaui kawasan yang didakwa menjadi titik jatuhnya JT610,” katanya.

Muhammad Syaugi juga menjelaskan bahawa ROV sudah digunakan di kawasan seluas 250 meter dari titik pesawat tersebut terhempas.

Beliau turut memaklumkan bahawa mereka ma­sih belum ada perancangan untuk meluaskan zon carian, tetapi akan melanjutkan operasi selama tiga hari lagi.

Dalam pada itu, jumlah anggota SAR ditambah bagi meneruskan operasi pemindahan termasuk bangkai dan korban nahas pesawat Lion Air JT610.

Ketua Komunikasi Korporat Strategik Lion Air, Danang Mandala Prihantoro menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa setakat ini terdapat 1,396 anggota keselamatan berban­ding 869 orang sebelum ini.

“Jumlah anggota keselamatan itu melibatkan pelbagai pasukan beruniform termasuk tentera laut, tentera udara dan Palang Merah.

“Operasi SAR dari udara juga masih diteruskan dengan menggunakan khidmat helikopter peninjau dan kapal laut,” ujar­nya.

Kira-kira 30 buah ambulans disediakan sebagai persediaan dalam operasi SAR tersebut.

Setakat ini, sebanyak 105 beg jenazah yang mengandungi cebisan badan mangsa korban ditemukan dan diserahkan kepada pasukan forensik untuk dikenal pasti. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN