Azmin menang pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor - Utusan Malaysia

Azmin menang pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR – Penyandang Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terus mengukuhkan kedudukanya apabila berjaya menguasai Cabang Kuala Selangor pada pemilihan hari ini dengan memperoleh 982 undi. 

Beliau berjaya menewaskan pencabarnya Rafizi Ramli yang hanya meraih 389 undi. 

Dalam pada itu, bagi jawatan Naib Presiden pula, Dr. Xavier Jayakumar memperoleh 1,132 undi, Nurul Izzah Anwar (673 undi), Zuraida Kamaruddin (661 undi), Chua Tian Chang ( 484 undi) dan Shamsul Iskandar (437 undi).

Bagi jawatan Ketua Cabang pula, ia dimenangi Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli dengan 426 undi menewaskan lima pencabarnya yang lain. 

Jawatan timbalan ketua cabang pula dimenangi T. Rajasegaran dengan 417 undi. 

Pengundian bagi Cabang Kuala Selangor diadakan di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKL) Bestari Jaya di sini dan seramai 17,737 ahli layak mengundi.

Sebelum ini, proses pemilihan cabang itu yang sepatutnya berlangsung pada siri ketiga pemilihan, 28 Oktober lalu terpaksa ditangguhkan berikutan masalah ketiadaan isyarat telekomunikasi di pusat pengundian di Stadium Tertutup Kuala Selangor.

Masalah teknikal itu didakwa disebabkan unsur sabotaj berikutan penemuan satu alat dipercayai penghalang isyarat data dan panggilan keluar masuk (signal jammer device) oleh pekerja pembersihan di tempat duduk penyokong di stadium berkenaan. 

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md. Asri A. Wahab yang mengesahkan penemuan alat berkenaan memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN