KUALA LUMPUR 11 Nov. – Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli gagal memintas lawannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam saingan merebut jawatan tersebut yang memasuki pusingan akhir, hari ini.
Malah menerusi status yang dimuat naik di Twitter, Mohamed Azmin juga seolah-olah memberi isyarat awal kemenangan beliau dalam perebutan jawatan berkenaan.
Status yang dimuat naik Mohamed Azmin itu kemudiannya dihujani dengan ucapan tahniah daripada para pengikut beliau.

“Alhamdulillah dan syukur. Terima kasih kepada semua anggota PKR yang bersama membingkai muafakat untuk meneruskan agenda reformasi tulen,” katanya menerusi Twitter, hari ini.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi dengan mengambil kira keputusan pemilihan yang dijalankan di Cabang Kuala Selangor, Cabang Pensiangan, Cabang Jelebu serta 28 daripada 29 cabang di Sarawak hari ini, Mohamed Azmin berjaya memperoleh 64,669 undi berbanding Rafizi 61,634.
Walau bagaimanapun, peluang Rafizi untuk memintas Mohamed Azmin masih terbuka memandangkan keputusan pengundian Cabang Julau yang dikatakan kubu kuat Rafizi masih belum dimuktamadkan setelah berdepan dengan kontroversi semalam.
Rafizi juga mendakwa beliau hampir mendapat 3,000 undi untuk bersaing dengan Mohamed Azmin sebelum berlakunya ‘serangan siber’ terhadap tablet yang digunakan dalam pemilihan di Julau semalam.
Insiden itu kemudiannya membuatkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR menggantung keputusan pemilihan bagi Cabang Julau susulan 10 tablet yang digunakan untuk pengundian elektronik (e-undi) digodam sehingga boleh menjejaskan keputusan undian.










