KOTA KINABALU – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terus mengukuhkan kedudukannya di Sabah selepas menang di 15 cabang pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) peringkat negeri Sabah yang selesai semalam.
Mohamed Azmin yang mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR berjaya memperoleh 9,555 undi sekali gus menewaskan pencabarnya, Rafizi Ramli yang sekadar memungut 4,020 undi.
Berdasarkan keputusan setakat pukul 8 malam tadi, Mohamed Azmin yang merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi mendapat sokongan di Libaran (1,636), Sandakan (157), Kalabakan (490), Sepanggar (611), Beaufort (616) dan Tawau (1,393)
Di Cabang Kudat pula, Azmin meraih 831 undi, Putatan (383), Ranau (574), Beluran (128), Silam (669), Papar (374), Kota Belud (469), Tenom (796) dan Kinabatangan (428).
Sementara itu, Rafizi meraih sokongan di Cabang Kota Kinabalu dengan 440 undi, Batu Sapi (283). Tuaran (242), Sipitang (431), Kota Marudu (1,286), Penampang (207), Semporna (355) dan Kimanis (317).
Bagaimanapun, keputusan bagi Cabang Keningau dan Pensiangan masih belum diperoleh.
Direkodkan, semalam berlangsung fasa kedua pemilihan PKR Sabah di 13 daripada 25 cabang negeri ini secara serentak.
Ia melibatkan Kudat, Kota Belud, Putatan, Penampang, Kimanis, Ranau, Beluran, Tenom, Pensiangan, Kinabatangan, Silam, Semporna dan Papar.
Baki 12 cabang iaitu Kota Kinabalu, Kota Marudu, Tuaran, Sepanggar, Kota Kinabalu, Beaufort, Sipitang, Keningau, Libaran, Batu Sapi, Sandakan, Tawau dan Kalabakan selesai kelmarin.
Fasa pertama pemilihan parti itu antara lain menyaksikan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew yang juga Pengerusi PKR negeri berjaya mempertahankan jawatan Ketua Cabang Kota Kinabalu selepas menewaskan pencabarnya, Julian Lai.










