Azmin dahului Rafizi di Kota Samarahan - Utusan Malaysia

Azmin dahului Rafizi di Kota Samarahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA SAMARAHAN 10 Nov. – Keputusan pemilihan PKR cabang Kota Samarahan menyaksikan penyandang Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendahului lawannya, Rafizi Ramli dalam perebutan jawatan tersebut.

Azmin memperoleh 146 undi, iaitu mengatasi Rafizi yang hanya memperoleh 84 undi.

Sementara itu, pemilihan cabang PKR Kota Samarahan bagi jawatan Ketua Cabang dimenangi oleh Jemree Sabli yang memperoleh 184 undi menewaskan lawannya, Datuk Nor Irwan Ahmat Nor yang memperoleh 106 undi.

Jawatan Timbalan Ketua Cabang pula dimenangi oleh Suaidi Morshidi yang memperoleh 192 menewaskan Arip Ameran mendapat 90 undi.

Naib Ketua Cabang dimenangi Mohidin Morni dengan undi 181 menewaskan Hussein Abang Apok (89 undi).

Sebanyak 438 kertas undi dikeluarkan dengan jumlah pengundi ragu sebanyak 141, jumlah undi dalam peti 297 dan dua kertas undi tidak dikembalikan.

PKR cabang Kota Samarahan mempuyai 1,235 ahli tetapi hanya 40 peratus sahaja yang keluar mengundi kali ini.

Keputusan itu diumumkan Ketua Pengawas Pusat Mengundi, Mohd Hatta Marzuki selepas selesai proses pemilihan dan pengiraan yang diadakan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini petang ini.

Sementara itu, Jemree ketika ditemui memberitahu, pemilihan ini bukan menang atau tewas yang dilihat tetapi semangat bertanding dalam satu keluarga.

“Alhamdulillah…semua proses pemilihan berjalan lancar dengan adanya kerjasama semua pihak, sekali gus menjadikan PKR terus relevan dan diterima dengan baik oleh masyarakat di Sarawak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN