PUTRAJAYA 27 Nov.- Ahli Parlimen Baling merangkap ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim selesai memberi keterangan selama hampir tujuh jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, Abdul Azeez keluar dari ibu pejabat SPRM pada pukul 10 malam dan beliau sebelum itu tiba untuk memberi keterangan pada pukul 3.15 petang dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima berwarna putih.
“Abdul Azeez tiba pada pukul 3.15 petang dan proses mengambil keterangannya selesai pada pukul 10 malam. SPRM merakam kenyataan berkaitan tender projek kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Abdul Azeez sepatutnya datang ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan semalam, namun beliau memohon pertemuan itu ditangguhkan ke hari ini kerana mahu menghadiri persidangan di Parlimen.
Pada 25 September lalu, SPRM menahan Abdul Azeez, abangnya merangkap pengurus besar syarikat hartanah, Datuk Abdul Latif Abdul Rahim serta seorang pengarah syarikat berhubung kes rasuah syarikat kontraktor.
Abdul Azeez dan pengarah syarikat ditahan di ibu pejabat SPRM pada pukul 11.15 pagi dan 5.30 petang ketika hadir memberi keterangan manakala Abdul Latif ditahan pada pukul 11.30 pagi di Sungai Buloh, Selangor.
Semua suspek ditahan mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penerimaan rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor bagi satu projek Tabung haji.
Abdul Azeez, Abdul Latif dan pengarah syarikat itu direman selama empat hari dan selepas itu tempoh reman Abdul Azeez dan abangnya dilanjutkan lagi selama enam hari bagi membolehkan SPRM melakukan siasatan lanjut.
Pada 5 Oktober, Abdul Azeez merangkap bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji bersama abangnya itu dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM500,000 setiap seorang dengan dua penjamin. – UTUSAN ONLINE










