Atas meja jual buah, bawah meja sorok hasil samun - Utusan Malaysia

Atas meja jual buah, bawah meja sorok hasil samun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 14 Nov. – Perwatakan seorang lelaki sebagai peniaga buah yang ramah menyebabkan tiada siapa menyangka dia juga merupakan penjenayah ganas bersenjatakan pistol tiruan yang merompak pelbagai premis perniagaan di sekitar bandar ini sejak tiga minggu lalu.

‘Wajah’ sebenar suspek berusia 23 tahun itu yang dikatakan terlibat dalam sekurang-kurangnya lapan kes samun dan rompak dengan nilai kerugian mencecah RM150,000 terbongkar apabila dia ditahan polis dalam serbuan di Tunjong, di sini pukul 9 pagi, kelmarin.

Lebih mengejutkan, polis turut menemukan hasil rompakan suspek terutama barang kemas milik mangsa yang disorok di bawah meja jualan buah-buahannya di sebuah pasar borong di Tunjong.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin berkata, lelaki tempatan tersebut memilih untuk merompak kedai dan butik yang pekerja atau pemiliknya terdiri daripada golongan wanita dan kegiatan jenayah tersebut kebiasaannya dilakukan pada hari Jumaat.

Kata beliau, siasatan awal mendapati suspek melakukan rompakan bersendirian dan lebih aktif merompak pada hari Jumaat berbanding hari lain, iaitu ketika waktu solat Jumaat selain memakai pakaian yang sama, iaitu baju T dan seluar jeans berwarna biru serta berhelmet.

“Selepas disoal siasat, dia mengaku telah merompak sebanyak lapan premis di sekitar Kota Bharu.

“Dia menggunakan sepucuk pistol tiruan atau pistol angin untuk tembak cicak yang dibeli dari negara jiran bagi menakut-nakutkan mangsa sebelum mengambil wang tunai dan barang kemas dipakai mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Hasanuddin turut memberitahu, suspek direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana menyamun menggunakan senjata.

Sabtu lalu, dua wanita kerugian RM15,000 selepas barang kemas milik mereka disamun seorang lelaki yang menceroboh butik tudung dan kosmetik mereka di Tunjong.

Dua minggu sebelum itu, seorang pengurus wanita di sebuah kedai kek di Jalan Hamzah, di sini dilaporkan cedera di kepala dan kening selain trauma selepas dihentak dengan pistol tiruan oleh seorang lelaki yang menyamun premis itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN