SEMPENA memberi pengiktirafan terhadap usaha keras penggiat seni tanah air, Anugerah Skrin (ASK) kini kembali pada tahun 2018 (ASK2018) sekali gus memasuki penganjuran kali ke-22.
Penganugerahan tersebut diberikan bukan sahaja untuk menghargai sumbangan mereka kepada perkembangan industri hiburan anak tanah air tetapi dijadikan sebagai pembakar semangat untuk lebih berusaha keras pada masa akan datang.
Bersiaran secara langsung pada esok (2 November) menerusi saluran TV3 pukul 9 malam, acara tersebut bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Selain melibatkan naskhah tempatan yang bersiaran menerusi saluran Rangkaian Media Prima iaitu TV3, ntv7, TV9 dan 8TV, ASK2018 turut disertai oleh penyiar lain seperti ASTRO AEC, Bernama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV AlHijrah.
Ia mempertandingkan 30 kategori melibatkan telefilem, drama rantaian, filem serta bukan drama dan teknikal (laporan berita, dokumentari program realiti, anugerah dan rancangan bual bicara).
Awal
Bagaimanpun, pemenang bagi enam kategori bukan drama dan teknikal akan diketahui lebih awal dan bersiaran secara langsung dalam Melodi ASK2018 pada 28 Oktober lalu.
Dalam pada itu, selain memberi fokus kepada karya bahasa Melayu, buat julung- julung kalinya ASK2018 memperkenalkan tiga kategori baharu melibatkan naskhah berbahasa Mandarin iaitu Drama Rantaian Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian dan Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian.
Bukan hanya melibatkan kategori pencalonan, ASK2018 turut mencetuskan kelainan apabila tidak menampilkan hos utama bagi mengendalikan anugerah tersebut.
Sebaliknya, seramai 12 selebriti popular telah diberi mandat untuk mengemudikan acara berkenaan selain dipertanggungjawabkan sebagai penyampai trofi.
Artis yang terlibat ialah Datuk Rosyam Nor, Nora Danish, Awal Ashaari, Ayda Jebat, Zahirah MacWilson, Elly Mazlein, Sherry Al-Hadad, Izzue Islam, Sharnaaz Ahmad, Naz Habibur Rahman dan Shuk Sahar.
Bertemakan rona keemasan, acara ASK2018 akan diserikan dengan persembahan daripada Bintang Paling Popular ke-31, Wany Hasrita, Ernie Zakri, Shiha Zikir, Jaclyn Victor, Elvira, Altimet, Amelia Henderson, Raja Shahiran, Shawn Lee, OAG, Andrew Lee (ahli silap mata) dan Alpha Movement (tarian dan aksi parkour).











