LONDON – Arsenal dilaporkan sedang berusaha keras untuk mendapatkan khidmat Juan Mata sekiranya pemain tersebut tidak melanjutkan kontrak di Old Trafford bersama Manchester United.

Kontrak semasa Mata bakal tamat pada penghujung musim ini dan United pula masih belum mengemukakan sebarang tawaran untuk memastikan pemain dari Sepanyol itu terus kekal di kelab itu.
Laporan akhbar di England mendakwa, masa depan Mata berada dalam keadaan samar dan hanya menunggu masa untuk diberikan lampu hijau untuk meninggalkan kelab berkenaan.
Ketika Mata masih mencongak masa depannya bersama The Red Devils, pengurus Arsenal, Unai Emery dipercayai sudah bersedia menyelamatkan karier pemain itu di England.
Emery sebelum ini pernah bekerja bersama Mata ketika di Valencia dan dipercayai sangat meminati pemain tersebut serta mahu membawanya ke Emirates.
United sebelum ini telah melanjutkan kontrak mata selama 12 bulan penghujung tahun lalu dan membuktikan bahawa dia masih berguna untuk pasukan itu terutama ketika meledak gol penyamaan sewaktu menewaskan Juventus pada saingan Liga Juara-Juara Khamis lalu.
Bagaimanapun, hubungan Mata bersama pengendali United, Mourinho sering dilanda pasang surut dan tidak begitu mesra.
Mourinho sebelum ini bertanggungjawab menjual Mata ke United ketika bersama Chelsea dan pemain tersebut juga berdepan masalah untuk menyertai kesebelasan utama selepas pengurus dari Portugal itu menyertai United.
Selain Arsenal, Mata juga dilaporkan menerima tawaran daripada beberapa kelab dari Sepanyol untuk membawanya pulang selepas tujuh tahun berada di England. – Agensi











