Aroma memikat sajian masak salai - Utusan Malaysia

Aroma memikat sajian masak salai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Aroma masakan lemak salai di Restoran Zaini Salai House berjaya membangkitkan selera dan menarik minat tidak kurang daripada 2,000 pengunjung setiap hari.

Pelbagai hidangan salai seperti ikan, itik, ayam, daging dan burung puyuh disajikan bersama kuah masak lemak di restoran yang terletak di Kampung Bendol, Jalan Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu.

Dipadankan dengan ulam-ulaman dan pelbagai jenis hidangan selera kampung, persinggahan pengunjung untuk memuaskan selera pasti termakbul.

Pemilik restoran, Zaini Saad berkata, resipi masakan salai itu dipelajari daripada ibu mertuanya dan seorang tukang masak yang mahir dalam sajian selera negeri adat pepatih itu.

“Saya melihat masakan salai ini semakin dilupakan orang ramai terutama dalam kalangan anak muda kerana menganggap ia sukar disediakan.

“Jadi saya ambil peluang ini untuk memperkenalkan hidangan salai dan dari situ ia perlahan-lahan berkembang sehingga menjadi restoran yang menyajikan pelbagai menu salai,” katanya.

Menurut Zaini, lokasi res­to­ran yang terletak di laluan utama Seremban- Kuala Pilah itu menjadikan restorannya tumpuan orang ramai terutama dalam kalangan penunggang motosikal berkuasa tinggi.

“Setiap hari kami menyediakan sekurang-kurangnya 30 ekor itik yang disalai selama lebih dua jam.

“Kami juga menerima tempahan sajian daripada pelanggan cuma pesanan perlu diberitahu lebih awal beberapa hari,” katanya.

Zaini Salai House beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali hari Rabu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN