Ardern bawa paradigma baharu mengenai wanita - Utusan Malaysia

Ardern bawa paradigma baharu mengenai wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CERITA Jacinda Kate Laurell Ardern yang melahirkan anak ketika baru memegang jawatan sebagai Perdana Menteri (PM) New Zealand sangat dekat di hati wanita seluruh dunia.

Mengapa saya dan barangkali le­bih ramai lagi bersetuju dengan ke­nyataan itu? Sudah pasti, kisah hebat Ardern disifatkan berjaya mengikis skeptikal terhadap ketidakupayaan kaum Hawa memikul dua tugas se­rentak.

Pertama, Ardern harus memberi perhatian kepada tugasnya menjadi ibu kepada bayi perempuannya bernama Neve Te Aroha Ardern Gayford. Kedua, beliau menjadi pe­mimpin nombor satu negara pada usia sangat muda. Secara teknikalnya, beliau bertanggungjawab menjaga kebajikan 4.7 juta rak­yatnya.

Sebelum pergi jauh, saya hamparkan serba sedikit mengenai Ardern. Gelombang Jacinda-mania sesungguhnya telah mengangkat Ketua Parti Buruh itu memimpin Negara Kiwi itu. Pada hemat pemerhati politik, tenaga, sifat humor, progresif dan kredibiliti Ardern sudah cukup untuk membawa persekitaran yang optimis dalam sesebuah negara.

Pada 26 Oktober 2017, Ardern berjaya membentuk kerajaan selepas parti New Zealand First pimpinan Winston Peters memilih untuk berpihak kepadanya berbanding Parti Nasional pimpinan Bill English.

Pada saat wanita kelahiran Hamilton yang terletak di utara New Zealand menjalankan reformasi terhadap kerajaan pimpinannya, beliau terus menjadi tajuk utama akhbar. Masakan tidak, tindakan beraninya mengaku bahawa dirinya hamil tiga bulan (selepas tiga bulan menjadi PM) dihujani reaksi yang bercampur-baur.

Ardern telah dikritik hebat pemimpin parti pembangkang. Antara petikan kecaman yang paling me­nusuk hati wanita itu: “Sepatutnya Ardern maklumkan kehamilannya lebih awal sebelum dilantik menjadi PM agar rakyat boleh memilih orang yang lebih layak memimpin New Zealand.”

Menariknya, wanita itu tenang menepis segala cacian. Beliau memandang ke hadapan dan terus be­kerja. Berdasarkan rekod, sepanjang hamil, Ardern dikatakan tidak pernah membatalkan temu janji bersama pemimpin dunia luar waima tugasan dalam negara.

Beliau mengadakan pertemuan rasmi dengan Ketua Negara Komanwel, Ratu Elizabeth II di Istana Bucking­ham, England pada usia kandungannya mencecah tujuh bulan. Sebagai pemimpin dunia baharu, beliau meneruskan siri kunjungan ke lebih 10 buah negara seperti Amerika Syarikat (AS) (bertemu dengan bekas Presiden AS, Barack Obama), Kanada (bertemu dengan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau) termasuk ke Jerman.

Komitmennya semakin terserlah apabila beliau hadir ke Parlimen beberapa hari sebelum beliau dijadualkan melahirkan Neve, 21 Jun lalu.

Ya, Ardern seperti wanita lain yang mengalami simptom wanita mengandung. Ujarnya, beliau cukup takut untuk menaiki tangga kerana kakinya membengkak pada awal kehamilan. Namun, katanya, beliau bertuah kerana bayinya ‘sangat memahami’ tugas ibunya sebagai PM New Zealand.

Beliau bertambah bersemangat apabila lebih ramai rakyatnya malah seantero dunia melabelnya sebagai wanita hebat. Beberapa penulisan menyebut, Ardern telah menunjukkan kuasanya sebagai wanita yang berkerjaya dan juga seorang ibu sekali gus menghakis stigma bahawa kaum Hawa itu lemah.

Situasi Ardern sebagai ketua pemerintah yang hamil ketika sedang bertugas selepas bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto pada tahun 1990 membawa evolusi baharu di New Zealand. Beliau telah diangkat secara jujur sebagai srikandi yang berjaya menenggelamkan dilema antara menjadi seorang ibu dan pemimpin.

Kisah Ardern juga telah menjentik perasaan majikan di New Zealand yang sebelum ini terlalu ragu-ragu untuk menggaji seorang wanita. “Jangan anda tidak mahu ambil wa­nita sebagai pekerja kerana takut tentang kehamilannya,” pesan Ardern kepada rakyatnya.

Di samping itu, pengumumannya bahawa suaminya, Clarke Gayford akan berada di rumah dan menjaga anak mereka telah membawa konsep baharu keibubapaan di New Zealand. Pengakuan ini adalah paradigma baharu dalam dunia kekeluargaan di negara itu termasuk di dunia!

Sebenarnya, dalam hal ini boleh dirumuskan, Ardern layak digelar ikon paling signifikan yang perlu dicontohi oleh setiap negara termasuk Malaysia.

Di negara kita, tidak keterlaluan dikatakan, majikan masih berpanda­ngan sinis terhadap wanita. Ada yang cukup khuatir, pekerja wanita yang hamil akan mengganggu kelancaran kerja. Tidak kurang yang melabelkan wanita hamil sebagai menyusahkan. Keadaan ini sangat menyedihkan. Ia sepatutnya tidak berlaku.

Ardern telah membuktikan bahawa antara wanita hamil dan tanggungjawab menjalankan kerja mampu dilakukan dengan baik. Tidak kiralah apa juga jawatan yang di­sandang. Sesungguhnya, kehidupan seorang wanita berkerjaya untuk menjadi seorang ibu bukanlah satu halangan!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN