ARB 'maniskan' Kampung Jenang - Utusan Malaysia

ARB ‘maniskan’ Kampung Jenang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG 10 Nov.- Amanah Raya Berhad (ARB) meneruskan program tanggungjawab sosial korporatnya dengan memilih Kampung Jenang dalam menjayakan aktiviti amal terbaharu syarikat berkenaan.

Pemilihan kampung tradisi yang terkenal dengan produk-produk tempatan dilakukan ke arah membantu mengekalkan warisan masyarakat Melayu termasuk pembuatan gula nisan (manisan), bahan daripada nira kelapa penyeri juadah tradisional itu yang semakin dilupakan generasi sekarang.

Sehubungan itu, sempena program Amal Baik Pulih Bangsal Gula Nisan Pak Man Warisan Tok Nyadat di Kampung Jenang, di sini hari ini, Amanah Raya menyalurkan sumbangan RM5,000 kepada pengusaha dan pemilik bangsal tersebut, Azman Husein, 48, yang lebih dikenali sebagai Pak Man.

Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Bahagian Hal Ehwal Korporat Kumpulan ARB, Nik Salina Nik Idris kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong sambil disaksikan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jenang, Mustaffa Deraman.

Menurut Nik Salina, program amal Baik Pulih Bangsal Gula Nisan Pak Man merupakan salah satu inisiatif Amanah Raya mendekati masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan bantuan.

“Golongan seperti ini wajar diberikan perhatian. Program seperti ini juga membuktikan keprihatinan Amanah Raya dalam menyokong setiap usaha untuk mengekalkan tradisi dan warisan kehidupan masyarakat Melayu.

“Kita mengharapkan agar program tanggungjawab sosial seperti ini akan terus menjadi tradisi kami, memperlihatkan komitmen terhadap usaha mengekalkan warisan negeri dan negara”, katanya kepada pemberita selepas program tersebut.

Menurut Nik Salina, sumbangan yang diserahkan itu adalah untuk membantu kerja-kerja pemuliharaan dan menaik taraf kawasan bangsal pembuatan gula nisan secara tradisional agar warisan berkenaan dapat diteruskan selain mampu nenarik lebih ramai pelancong asing datang ke Terengganu, kususnya ke Kampung Jenang.

Selain itu katanya, sumbangan individu atau syarikat korporat juga boleh disalurkan melalui Tabung Amanah yang diwujudkan oleh Amanah Raya Berhad.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN