Arab Saudi bebaskan Putera Khalid - Utusan Malaysia

Arab Saudi bebaskan Putera Khalid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH – Pihak berkuasa Arab Saudi membebaskan Putera Khalid bin Talal selepas hampir setahun ditahan, kata ahli keluarganya kelmarin selepas kerajaan itu berdepan tekanan antarabangsa susulan pembunuhan seorang wartawan, Jamal Khashoggi.

Pembebasan Putera Khalid yang merupakan abang kepada bilionair Putera Al-Waleed bin Talal disahkan oleh sekurang-kurangnya tiga ahli keluarganya di platform Twitter dengan memaparkan gambarnya mencium dan membelai anak lelakinya yang terlantar koma sejak beberapa tahun lalu.

“Terima kasih Tuhan atas kesihatannya,” kata anak saudaranya, Pu­teri Reem binti Al-Waleed menerusi Twitter berserta gambar pembebasan putera tersebut bersama ahli keluarga yang lain.

Kerajaan tidak memberi sebarang penjelasan umum berhubung penahanannya atau syarat pembebasannya.

Akhbar Wall Street Journal melaporkan bahawa beliau ditahan selama 11 bulan kerana mengkritik kekerasan yang dilakukan golongan elit kerajaan November lalu yang me­nyaksikan berpuluh-puluh putera, pegawai dan taikun perniagaan ditahan di Hotel Ritz-Carlton di Riyadh.

Kerajaan melabelkannya sebagai membanteras rasuah, namun kritikan mengatakan ia cubaan oleh Putera Mahkota, Mohammed bin Salman yang merupakan pewaris takhta Arab Saudi menyingkirkan musuh berpotensi dan mengukuhkan kuasa.

Sebelum ini, Putera Al-Waleed yang digelar Warren Buffet Arab Saudi merupakan antara yang ditahan dan dibebaskan awal Januari lalu selepas bersetuju dengan satu perjanjian kewangan de­ngan kerajaan yang tidak didedahkan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN