KEMAMAN – Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kemaman menahan sebuah kapal pengangkut pasir yang berlabuh tanpa kebenaran di perairan Dungun dekat sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, ketika ditahan pada pukul 10.45 pagi, kapal yang berdaftar di Panama itu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh yang dikeluarkan Jabatan Laut Malaysia.
“Pihak APMM menerima satu laporan daripada Jabatan Laut Wilayah Timur mengenai sebuah kapal pengangkut pasir Asia Star yang bersauh tanpa kebenaran pada Isnin lalu.
“Berdasarkan daripada maklumat diterima, sebuah kapal ronda APMM digerakkan ke lokasi dan mengesan sebuah kapal yang berlabuh kira-kira 2.7 batu nautika Tenggara muara Kuala Dungun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Rashidilhadi, ketika ditahan, terdapat seramai 14 kru warganegara China berusia antara 22 hingga 59 tahun di dalam kapal asing itu.
Tambah Rashidilhadi lagi, tiga kru kapal tersebut kemudiannya dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kemaman bagi tujuan siasatan lanjut. – K! ONLINE










