KUANTAN – Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) pertama di negara ini yang memperkenalkan sistem pengesahan ketulenan ijazah menerusi aplikasi telefon pintar, UMP Valid8.
Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Seri Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, aplikasi UMP Valid8 memuatkan maklumat pengajian melibatkan 2,773 graduan universiti tersebut yang menerima ijazah dan diploma pada istiadat konvokesyen esok.
Ujar beliau, aplikasi yang menggunakan teknologi blockchain tersebut dibangunkan tenaga pakar UMP bagi mengatasi masalah pemalsuan ijazah dan diploma.
“Buat kali pertama, kumpulan graduan seramai 2,773 orang yang menerima ijazah dan diploma UMP pada esok (hari ini) sudah pun dimasukkan maklumat pengajian mereka dalam aplikasi UMP Valid8.
“Sistem yang dibangunkan ini memiliki fungsi merekodkan maklumat pendidikan graduan UMP.
“Aplikasi mudah alih yang dihasilkan ini dapat mengesahkan kesahihan sesebuah ijazah menggunakan kod QR yang disertakan dalam helaian ijazah,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar hari ini berhubung Istiadat Konvokesyen UMP yang akan dirasmikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Canselor UMP.
Pada istiadat konvokesyen esok dan Ahad, seramai 2,773 graduan menerima ijazah serta diploma dalam bidang masing-masing.
Mengulas lanjut berhubung aplikasi tersebeut, Daing Nasir menambah, teknologi blockchain yang digunakan dalam UMP Valid8 juga memiliki fungsi keselamatan terbaik kerana ia sukar digodam atau dipalsukan.
“Aplikasi ini dapat membantu bakal majikan mendapatkan maklumat sahih yang tidak boleh digodam dan ia boleh didapati dalam versi Android dan iOS bagi telefon pintar jenis Apple iPhone,” tambah beliau. – K! ONLINE










