Apa maksud mesra OKU? - Utusan Malaysia

Apa maksud mesra OKU?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENARKAH majoriti masyarakat Islam memahami dengan jelas apa yang dimaksudkan dengan masjid atau surau mesra orang kurang upaya (OKU)? Atau kita sekadar ambil mudah berhubung persoalan itu?

Persoalan sedemikian perlu kerana ia menentukan di manakah kita letak golongan OKU di sisi agama Islam. Ia juga bagi mengelakkan kita mempersoal keputusan Allah SWT menciptakan manusia dalam pelbagai suasana.

Ini dipersetujui Ahli Jawatankuasa Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat, Datin Siti Muhibah Nor dengan menegaskan bahawa pemahaman yang tidak tepat bakal menyebabkan hak OKU di sisi Islam terabai.

Malah, tambah beliau, ia juga akan menyukarkan usaha untuk menghapuskan persepsi negatif masyarakat terhadap keluarga yang memiliki anak-anak OKU.

“Justeru, kemudahan OKU di masjid atau surau tidak seharusnya berbentuk fizikal tetapi juga dalam aspek kerohanian kerana kunjungan OKU ke rumah ibadat itu bukan hanya untuk bersolat dan berzikir.

“Percayalah mereka juga mahukan bimbingan agama, seperti kelas mengaji al-Quran, tauhid, fikah dan aspek-aspek lain fardu ain yang membolehkan mereka terus dekat dengan Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Menyantuni OKU di Masjid: Keperluan dan Cabaran sempena Seminar Rumah Ibadat Mesra OKU di Masjid Bandar Seri Putra (MBSP), Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Seminar sehari tersebut adalah anjuran MBSP bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat.

Sebanyak empat kertas kerja dibentangkan pada seminar yang dirasmikan oleh Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Dr. Zaliha Mustapa. Yang turut hadir, Pesuruhjaya Suhakam, Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

Mengulas lanjut, Siti Muhibah mengakui bahawa bukan suatu perkara mudah untuk menyediakan sukatan pembelajaran kelas agama bagi golongan itu kerana mereka mempunyai pelbagai kategori yang berbeza.

Setiap kategori mempunyai keperluan tersendiri tetapi pengalaman beliau dalam mendidik golongan tersebut sebelum ini menunjukkan mereka mempunyai kelebihan tersendiri yang sukar ditemukan dalam kalangan manusia normal.

“Kami sendiri ada menjalankan kelas agama dan terapi agama untuk OKU autisme, pada awalnya memang payah, tapi lama kelamaan, kita boleh kawal mereka.

“Sehingga pada satu tahap, kami menyedari mereka ada satu kepakaran iaitu apabila berjaya menguasai sesuatu, mereka jauh lebih baik daripada yang normal,” katanya.

LIBATKAN PENYERTAAN OKU

Dalam masa sama, Siti Muhibah turut mencadangkan agar pihak pengurusan masjid atau surau melibatkan secara aktif golongan OKU dalam aktiviti mengimarahkan rumah ibadat Islam itu.

Antara cadangan beliau adalah melantik mereka sebagai tenaga sukarelawan atau diberikan peranan sebagai siak atau bilal supaya berupaya menarik minat OKU lain.

“Mungkin juga pihak masjid atau surau boleh membentuk skuad OKU yang berperanan mengesan komuniti OKU dalam kariah masing-masing dan mengenal pasti keperluan pembelajaran agama bersesuaian,” katanya.

Kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau majlis agama Islam negeri (MAIN), beliau mencadangkan agar diselitkan satu modul berkaitan dengan OKU dalam kursus perkahwinan.

Ini supaya, tambahnya, bakal ibu bapa tidak menganggap satu bala bila memiliki anak OKU tetapi juga mempunyai pengetahuan bagaimana untuk memastikan anak mereka itu memperoleh pendidikan sewajarnya.

“Bagi saya, amat penting bakal ibu bapa itu dapat pendedahan awal sama ada dari segi perubatan dan pendidikan agar anak mereka nanti tidak terasa terabai,” katanya.

ANGGAP SEMUA OKU ADALAH SAMA

Walaupun kemudahan fizikal untuk OKU sudah ada di kebanyakan masjid mahupun bangunan komersial, tetapi tetap tidak mesra OKU berikutan wujud halangan sikap dalam kalangan pihak pengurusan sesebuah organisasi.

Ini kerana, menurut seorang lagi pembentang, Prof. Dr. Ruzita Mohd. Amin, golongan kepimpinan berkenaan meletakkan semua OKU dalam satu ‘bakul yang sama’.

Ketua Unit Orang Kurang Upaya Pejabat Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkata, semua itu disebabkan mereka tidak menyedari bahawa setiap golongan OKU mempunyai keperluan berbeza antara satu sama lain.

“Antaranya, tidak semua OKU berkerusi roda boleh menggunakan kerusi roda lain jika ingin memasuki ruang solat dan begitu juga, lif yang tidak mempunyai kemudahan suara.

“Ini tidak termasuk aspek keselamatan jika berlaku sebarang kecemasan di masjid atau surau,” katanya yang juga seorang OKU berkerusi roda ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Aksesibiliti Bagi OKU di Masjid.

Sehubungan itu, Ruzita memberitahu, pihak pengurusan seharusnya perlu mengadakan lebih banyak pertemuan dengan persatuan atau organisasi yang mewakili OKU supaya lebih memahami keperluan mereka.

Ini kerana, tambahnya, kekurangan pengetahuan sedemikian akan menyebabkan pelbagai polisi yang dikeluarkan hanya menepati keperluan sesetengah golongan OKU sahaja.

“Walaupun setiap OKU ada keperluan tersendiri tetapi saya percaya, usaha sedemikian akan membolehkan kata sepakat dicapai,” katanya.

Beliau memberitahu, permintaan golongan OKU tersebut ialah bertujuan untuk membolehkan mereka berdikari dalam melaksanakan ibadat dan perintah agama yang lain.

“Kami juga mahu berdikari bukan hanya dalam menjalani urusan harian tetapi juga dalam melaksanakan amalan ibadat agama di masjid atau surau,” katanya.

KEPERLUAN OKU:

  • Antara yang perlu ada ialah tandas, laluan kerusi roda, lif, tempat wuduk, parkir dan kerusi roda.
  • Hanya Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya (Masjid Besi) mempunyai enam kemudahan itu.
  • Masjid Negara tidak mempunyai kemudahan wuduk tetapi Masjid Putra di Putrajaya sedang dalam proses pembinaan kemudahan itu.
  • Jakim mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan agar memastikan pelan pembinaan masjid atau surau baharu turut dilengkapi dengan kemudahan OKU.
  • Antara perancangan Jakim pada masa depan:

         -Menyediakan lebih banyak papan tanda OKU

         -Meningkatkan jumlah tandas dan laluan (ramp) yang menepati keperluan OKU

         -Menyediakan risalah pelancongan tulisan Braille

         -Menyediakan jurubahasa isyarat.

FAKTA TENTANG OKU:

  • Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) anggarkan 10-15 peratus daripada populasi sesebuah negara tergolong dalam kalangan OKU.
  • Statistik OKU berdaftar di negara ini hingga Mac tahun lalu seramai 420,202 orang.
  • Kerajaan perlu mengarusperdanakan aspek ketidakupayaan OKU dalam aktiviti pembangunan.
  • Perlu ditambah baik Akta OKU 2008, khususnya dalam aspek penguatkuasaan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN