KUALA LUMPUR 13 Nov. – Belum pun menjadi Perdana Menteri, namun nampaknya Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH – Port Dickson) sudah menerima ‘layanan istimewa’ dalam kalangan menteri Kabinet.
Perkara itu jelas dapat dilihat apabila ketika Anwar membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 peringkat dasar dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, beliau mendapat jawapan terus daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Anwar membangkitkan soal elaun serta bantuan untuk golongan petani, pekebun dan nelayan yang sepatutnya diberi perhatian oleh kerajaan telah menerima jawapan balas segera daripada Guan Eng yang bangun mencelah ketika perbahasan bakal Presiden PKR itu.
Guan Eng menyatakan komitmen dan jaminan kerajaan bahawa golongan pekebun, petani dan nelayan tulen tidak akan diabaikan.
Beliau malah turut memuji Anwar telah melakukan kerja rumah sebelum membahaskan isu berkenaan.
Perkara ini amat jarang berlaku apabila menteri sendiri mencelah perbahasan Ahli Parlimen dan memberi jawapan secara terus kerana secara tradisinya menteri akan mempunyai segmen penggulungan peringkat kementerian untuk menjawab semua soalan terkumpul daripada perbahasan wakil-wakil rakyat terlibat.
Tindakan Guan Eng itu telah menimbulkan kemarahan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang yang menyifatkan Setiausaha Agung DAP itu sebagai dwistandard.
Sebagaimana ditekankan oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN – Kinabatangan) bahawa isu golongan petani, pekebun dan nelayan telah terlebih dahulu dibangkitkan oleh pihak pembangkang tetapi tidak diberikan layanan serupa.
Namun, alasan diberikan Guan Eng cukup ‘istimewa’ apabila menyifatkan Anwar sebagai ‘bukan wakil rakyat biasa’.
“Ini bukan Yang Berhormat yang biasa,” tegas beliau.
Jawapan Guan Eng itu dipercayai merujuk kepada Anwar yang dicanang-canang sebagai Perdana Menteri kelapan menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad. – UTUSAN ONLINE











