GUA MUSANG 5 Nov. – Seorang anggota polis trafik nyaris maut apabila motosikal peronda berkuasa tinggi yang ditunggangnya terbabas dalam longkang di Kilometer 85, Jalan Kota Bharu – Gua Musang, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, Mohd. Fuzi Mohd. Nayan, 34, yang bertugas di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis, Gua Musang hanya mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, kejadian itu berlaku ketika anggotanya menunggang motosikal trafik berkuasa tinggi itu dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Gua Musang.
Katanya, sebaik tiba di lokasi sebuah lori yang berada di hadapan mangsa tiba-tiba membelok ke kanan tanpa memberi sebarang isyarat.
“Akibatnya anggota tidak sempat mengawal motosikalnya sebelum merempuh pintu depan bahagian kanan lori terbabit.
“Selepas pelanggaran itu, motosikal ditunggangi Mohd. Fuzi terbabas ke dalam longkang menyebabkan motosikal berkuasa tinggi milik cawangan trafik IPD Gua Musang rosak teruk,” katanya.
Tambah Mohd. Taufik, beliau berharap pengguna jalan Gua Musang-Kuala Krai supaya lebih berwaspada kerana kerap berlaku kemalangan sejak akhir-akhir ini di laluan berkenaan.
Tambahnya, pengguna juga perlu berhati-hati kerana keadaan jalan licin ketika hujan musim tengkujuh ini bagi mengelakkan kemalangan. – UTUSAN ONLINE










