[ANALISIS] Rusuhan bukan gambaran negara bernama Malaysia - Utusan Malaysia

[ANALISIS] Rusuhan bukan gambaran negara bernama Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INSIDEN kekacauan melibatkan isu pengambilalihan hartanah dan pemindahan sebuah kuil di Subang Jaya sudah berlarutan selama tiga malam.


Merusuh, bakar kenderaan, merosakkan bangunan dan setakat ini telah melibatkan kecederaan kritikal seorang penjawat awam yang dipukul oleh kumpulan perusuh.


Asalnya, ia pergaduhan sekumpulan lelaki yang dikaitkan sebagai wakil pemaju dengan penduduk dan bukannya akibat jenayah perkauman atau agama.


Namun apa yang meresahkan, mesej menerusi aplikasi WhatsApp bertebaran dari semasa ke semasa walaupun siapa yang memukul anggota bomba itu pun belum diketahui.


Justeru, keadaan ini menimbulkan pertanyaan dalam media sosial apakah tindakan selanjutnya oleh pihak berkuasa sebelum mereka yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan memarakkan insiden tersebut.


Petang semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor bermesyuarat dan cadangan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengenai pengisytiharan perintah berkurung andai keadaan berlarutan seperti disiarkan Utusan Online semalam menjadi perhatian sehingga dipetik beberapa portal berita lain.


Apa pun, tindakan telah bermula. Ada yang sudah ditangkap dan ada yang sedang diburu malah kerajaan telah mengeluarkan kenyataan tegas akan memastikan dalang tidak terlepas.


Mulai semalam, lebih 1,400 pegawai dan anggota termasuk Pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ditempatkan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya. Ada kumpulan kecil berhimpun malam tadi tetapi telah disuraikan awal-awal lagi.


Ini antara isyarat penting agar tiada pihak yang terus mengeruhkan keadaan selain memastikan insiden sama tidak berulang.


Negara ini menegakkan kedaulatan undang-undang dan keharmonian Malaysia yang dikagumi banyak negara harus dipertahankan. Orang politik sendiri sudah berdepan tekanan rakyat Malaysia supaya mengawal mulut agar suasana tidak bertambah keruh.


Dan petang ini, Dewan Rakyat akan membahaskan usul tergempar berkaitan insiden ini. Mesej jelas merentasi kepartian perlu diberikan bahawa tiada ruang untuk mana-mana pihak meniupkan sentimen kaum dan agama.


Yang pasti, rusuhan bukan gambaran untuk negara bernama Malaysia.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN