[ANALISIS] Perintah berkurung khas untuk remaja wajar - Utusan Malaysia

[ANALISIS] Perintah berkurung khas untuk remaja wajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA ibu bapa yang mempunyai anak berusia remaja majoriti pastinya bersetuju perintah berkurung dikenakan kepada golongan berusia demikian, bagi mengelak mereka daripada terlibat dengan sebarang gejala negatif.

Memuatkan artikel berkaitan…

Usia remaja adalah fasa segalanya mahu dicuba dan kerana sikap suka menerokai sesuatu yang baharu dan mencabar itulah sering memerangkap golongan berkenaan ke dalam belenggu yang sukar untuk mereka mencari jalan pulang.

Ada sesetengah mereka terpaksa merintih kekecewaan seumur hidup kerana tidak memanfaatkan dengan baik usia muda dan ramai juga yang menyalahkan ibu bapa kerana gagal mengawal serta mendidik mereka.

Perintah berkurung bagi golongan remaja ini pula bukan sesuatu yang baharu ia memang telah beberapa kali dicadangkan khususnya oleh persatuan ibu bapa dan pertubuhan bukan kerajaan yang lain.

Setakat ini belum ada di pihak kerajaan yang benar-benar mahu melaksanakannya kecuali baru-baru ini oleh kerajaan negeri Kelantan.

Perintah berkurung yang wajar dilaksanakan ialah mulai pukul 10 malam sehingga 5 pagi bagi memastikan pengawasan lebih baik ke atas belia oleh ibu bapa.

Ini dapat menyelesaikan isu merayau dan penglibatan belia dalam aktiviti tidak bermoral serta jenayah.

Bagaimanapun ia tidak sesuai untuk dilaksanakan terhadap mereka yang belajar di pusat pengajian tinggi kerana mereka perlu menghadiri kelas serta pelbagai aktiviti lain sehingga larut malam.

Jadi perintah berkurung ini harus ditumpukan kepada remaja yang berusia 17 tahun dan ke bawah.

Usia ini bukan sahaja mereka terlalu mentah, bahkan mudah terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya serta yang lebih dewasa.

Bagaimanapun cadangan itu tidak seharusnya dilaksanakan secara tergesa-gesa, sebaliknya perlu dikaji dengan teliti mungkin dengan mengambil contoh beberapa buah negara yang telah melaksanakannya.

Remaja yang keluar bersama ibu bapa pula tidak sepatutnya dilarang daripada keluar rumah pula.

Perintah berkurung kanak-kanak di Iceland mungkin boleh dikaji kerana dilaporkan membawa kepada penurunan masalah sosial dalam kalangan belia.

Di bawah Akta Perlindungan Kanak-kanak Iceland 2002, kanak-kanak berumur 12 tahun atau ke bawa tidak boleh berada di luar rumah selepas 8 malam melainkan ditemani seorang dewasa.

Kanak-kanak 13 hingga 16 tahun pula tidak boleh berada di luar rumah selepas 10 malam melainkan mereka dalam perjalanan pulang daripada program anjuran sekolah, organisasi sukan atau kelab belia.

Kanak-kanak dan remaja yang melanggar perintah berkurung itu akan dibawa ke balai polis, di mana ibu bapa mereka perlu membawa mereka pulang.

Ibu bapa akan bergilir meronda kawasan kediaman ketika perintah berkurung dilaksanakan.

Iceland mendahului senarai remaja paling berkelakuan baik di Eropah.

Satu tinjauan baru-baru ini menunjukkan peratusan remaja 15 dan 16 tahun yang minum arak berkurangan daripada 42 peratus pada 1998 kepada 5 peratus tahun lalu.

Peratusan perokok dalam kalangan mereka juga menurun daripada 23 peratus kepada 3 peratus dan penggunaan kanabis berkurangan daripada 17 peratus kepada 7 peratus. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN