[ANALISIS] Mansuh hukum mati: Trend, emosi atau keperluan? - Utusan Malaysia

[ANALISIS] Mansuh hukum mati: Trend, emosi atau keperluan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mulanya, penyokong pemansuhan hukuman mati cukup teruja untuk melihat Malaysia mengikut jejak 106 negara yang secara total tidak lagi mempunyai hukuman yang dianggap hanya layak dimasukkan dalam buku sejarah.


Apatah lagi kempen memansuhkan hukuman mati sudah lama berlangsung sejak tahun 60-an kerana bagi mereka, masyarakat moden harus melihatnya sebagai hukuman tidak berperikemanusiaan dan menafikan hak untuk hidup.


Dan di Malaysia, boleh dikatakan kajian mengenai pemansuhan hukuman mati mula diperkatakan tahun lalu membabitkan kesalahan dadah, bukannya untuk semua kesalahan seperti yang diumumkan 10 Oktober lalu dan disahkan di Dewan Rakyat kelmarin.


Sebenarnya, dalam Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik (ICCPR) menyebut hukuman mati masih boleh dilaksanakan tetapi untuk kes jenayah amat serius yang ditakrifkan sebagai kesalahan luar biasa.


Antara kesalahan yang didefinisikan sebagai bukan amat serius adalah membabitkan dadah, rompakan, penculikan tidak membabitkan kematian, jenayah berkaitan politik, seks serta murtad.


Dan kejadian menimpa seorang bayi yang dibunuh kejam telah memberikan dimensi baru kepada perdebatan pemansuhan hukuman mati – mansuh tapi bukan sepenuhnya. Ini terutama membabitkan pembunuhan menyayat hati apatah lagi melibatkan kanak-kanak sebagai mangsa.


Selain itu, tertanya juga apakah aktiviti pengganas yang menyebabkan kematian terutama dalam jumlah ramai termasuk kejadian pencerobohan seperti insiden Lahad Datu tidak lagi boleh menyebabkan hukuman mati kepada pelakunya.


Di bawah undang-undang Malaysia ada 12 hukuman mati mandatori dan 20 hukuman mati yang tertakluk budi bicara hakim.


Namun, rata-rata yang menyuarakan supaya pemansuhan hukuman mati dikaji semula bukanlah menuntut hukuman mati bagi 32 kesalahan kekal seperti sekarang tetapi keinginan mereka terarah untuk melihat hukuman setimpal ke atas pesalah pembunuhan kejam dan yang melibatkan keselamatan serta kedaulatan apabila ada nyawa yang terkorban.


Dari konteks undang-undang jenayah Islam, matlamat hukuman yang berat termasuk hukuman mati adalah mencegah iaitu menimbulkan kegerunan untuk membuat jenayah dan bukan bertujuan menghukum. Sebabnya untuk mensabitkan kesalahan dengan hukuman berat, beban pembuktian amat tinggi yang mana Islam menetapkan tahap yakin, lebih daripada keraguan munasabah.


Maka pemansuhan hukuman mati harus diteliti mendalam, jangan semata-mata mengikut trend dunia yang bukan bermakna baik semuanya. Sebaliknya eloklah pandangan awam diambil melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, biar puas hati. Teliti juga matlamat pencegahan melalui hukuman berat selain aspek penyiasatan dan pendakwaan. Masih ada masa.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN