MANDAT besar iaitu 42 kerusi parlimen telah diberikan kepada DAP, berbanding PPBM hanya 12 kerusi parlimen sahaja.
Inilah masanya parti yang selama ini melaungkan perjuangan hak kesamarataan yang sering diperkatakan sebagai dasar kerajaan Pakatan Harapan menyatakan sokongan terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Sebagai parti paling dominan dalam pakatan itu, DAP pastinya tidak mempunyai sebarang masalah. Rakan sekutu lain seperti Amanah tidak sukar dijinakkan kerana parti berkenaan sendiri bergerak sebelum ini atas tajaan DAP, manakala PKR hanya mengambil sikap memerhati akan memihak kepada pihak yang menguntungkan mereka.
Cuma DAP kini perlu berdepan dengan PPBM iaitu parti jelmaan UMNO yang merupakan parti Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.
Dari segi semangat demokrasi, PPBM haruslah akur kepada DAP yang memperjuangkan prinsip kesaksamaan antara kaum.
Itulah amalan demokrasi yang jitu mengikut adat dan mandat politik yang diberi. DAP sepertimana dalam kenyataan rasmi portal mereka berjanji dan memegang pada “Deklarasi Setapak” yang berjanji akan menghapuskan pengasingan rakyat atas label “bumiputera” dan “bukan bumiputera”.
DAP telah menegaskan bahawa “Deklarasi Setapak” adalah tunggak perjuangan mereka yang mahu merealisasikan impian kesamarataan dan menolak diskriminasi kaum. Bagi Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker semua pihak perlu menghormati perjuangan DAP yang telah memberi janji-janji pada rakyat.
MCA, katanya, menerima keputusan rakyat dan ingin melihat DAP menunaikan janji mereka dan tidak tunduk pada parti PPBM atau buat U-turn. MCA memegang pada prinsip berani janji, kenalah janji ditepati.
“Sama-samalah kita memerhati keikhlasan DAP dalam perjuangan mereka samada DAP teguh dan pegang pada prinsip perjuangan atau tunduk pada parti yang lebih kecil dan memilih untuk “kencing” atau abaikan penyokong mereka?”
Selama ini DAP telah mempersalahkan Barisan Nasional (BN) dan MCA yang mendokong hak-hak bumiputera yang termaktub dalam perlembagaan serta berjaya mempengaruhi rakyat untuk menolak BN atas janji mereka.
MCA sebagai satu parti politik, kata Lian Ker, tetap akan memegang pada prinsip dan semangat menegakkan keluhuran perlembagaan.
Oleh itu pemimpin utama DAP seperti Lim Kit Siang dan anaknya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak boleh terus membisu di dalam isu ini dan perlu bersuara serta menyatakan pendirian mereka. Kalau pemimpin DAP lupa, mungkin mereka boleh diingatkan, orang Cina sering berkata: ‘Cakap serupa bikin’. – UTUSAN ONLINE











