[ANALISIS] Azmin perlu pilih, jadi kuda tunggangan atau kembali ke saf asal - Utusan Malaysia

[ANALISIS] Azmin perlu pilih, jadi kuda tunggangan atau kembali ke saf asal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DATUK SERI AZMIN ALI telah mengumumkan beliau telah menang jawatan Timbalan Presiden PKR menewaskan pesaingnya Rafizi Ramli, walaupun proses pengundian dan pengiraan belum muktamad dek kerana pelbagai masalah.

Tindakan itu mudah difahami sebagai perang psikologi terhadap lawannya serta penyokong kem Rafizi keseluruhannya supaya menerima kekalahan kerana sudah tidak ada harapan lagi.

Azmin juga mengucapkan terima kasih kepada ahli PKR kerana memilih agenda reformasi yang sebenar.

Ini bermakna apa yang dibawa oleh Rafizi bukanlah agenda penubuhan parti itu yang sebenar, sebalik mempunyai sesuatu yang terselindung atau Azmin bertekad untuk kembali kepada saf asalnya.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula lebih bersikap memerhati sahaja perkembangan tersebut, walaupun sebelum ini Rafizi bertanding selepas menerima isyarat lampu hijau daripada bakal Perdana Menteri Malaysia kelapan itu.

Pemerhati politik dan bekas Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Kamarul Azman Habibur Rahman berkata, Azmin dilihat calon yang perlu menang.

Terutamanya, kata beliau, kerana dia dilihat sebagai pemimpin parti yang cuba lari daripada imej asal penubuhan PKR dan tidak sehaluan dengan kepimpinan Tertinggi PKR iaitu Anwar.

Ini adalah perjuangan survival untuk Azmin yang kini dilihat sebagai ‘orang Mahathir’ daripada ‘orang Anwar.’
Kejayaan Azmin, katanya, sebenarnya banyak bergantung kepada jawatannya dalam kerajaan sekarang ini, disamping `feel good factor’ yang sedang dirasai oleh ahli ahli PKR setelah memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan ini memberikannnya kelebihan.

Sementara Rafizi, ujar beliau, yang tidak mempunyai sebarang jawatan dalam Kabinet dari awal lagi telah memberi tentangan yang amat sengit dan berkualiti. Rafizi yang merupakan pakar strategi PKR telah menunjukkan kehebatannya.

“Azmin perlu kembali ke saf perjuangan PKR yang sebenar kerana di situlah survival politiknya berada. Jika dia terus dilihat condong kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau akan dilihat sebagai seorang yang punya agenda peribadi dan ini tidak baik kepada dirinya serta parti.

Katanya, walau apapun janji Mahathir kepada Azmin, bekas Menteri Besar Selangor itu perlu sedar bahawa Mahathir bukanlah seorang yang berpegang pada janji atau tahu erti terima kasih.

Azmin mempunyai pilihan sama ada pulang ke saf asal atau terpengaruh dengan kemungkinan terhadap tahap tertinggi yang boleh dicapai dalam kerjaya politiknya.

Dalam politik, apa yang berada di hadapan kini adalah jauh lebih penting daripada apa yang tidak dilihat di masa hadapan.

Walau bagaimanapun PKR adalah Anwar dan Anwar adalah PKR. Jika Azmin tidak menyedari hakikat ini atau terpengaruh dengan janji-janji manis pihak tertentu, dia perlu bersedia mengucapkan selamat tinggal kepada politik.
Adakah Azmin akan menjadi lebih kuat setelah dia memenangi jawatan Timbalan Presiden dan menjadi kuda tunggangan Tun dalam PKR? Azmin perlu bijak membuat keputusan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN