Anak patung ‘serang’ 
mangsa kerana cemburu - Utusan Malaysia

Anak patung ‘serang’ 
mangsa kerana cemburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIMA 14 Nov. – Seorang wanita dari Callao di sini mendakwa anak patung miliknya, Deisy, te­lah menakut-nakutkan ke­kasihnya sehingga menye­bab­kan lelaki itu meninggalkannya.

Berliz memberitahu wartawan, Deisy merupakan hadiah pemberian ibunya sempena Krismas namun anak patung itu dikatakan mempunyai sifat cemburu.

Dakwanya, anak patung ber­kenaan mempunyai pera­ngai seperti hantu Poltergeist termasuk boleh memusingkan ke­pala dan anggota badan malah menyerang orang yang tidak disukainya.

ANAK patung Deisy didakwa berperangai seperti hantu Poltergeist. AGENSI
ANAK patung Deisy didakwa berperangai seperti hantu Poltergeist. AGENSI 

Mangsa terbaharu anak patung itu ialah kekasihnya yang kemudian memutuskan hubungan selepas Deisy ‘menarik dan memukulnya’ semasa tidur.

Menurut wanita itu, anak patung berkenaan yang dirasuk boleh bergerak sendiri, menjatuhkan barang yang ada dalam rumah dan dipercayai menjadi punca berlakunya beberapa kejadian yang sukar dijelaskan.

Kata Berliz, Deisy sangat cemburu dan menyerang me­reka yang rapat dengannya, ke­adaan ini pernah terjadi ketika dia berusia 18 tahun.

Dalam kejadian tersebut, lampu dalam rumahnya tiba-tiba terpadam ketika bapa Berliz memeluknya namun apabila lampu terbuka semula, wajah Berliz dipenuhi luka.

Pernah juga berlaku sepupu Berliz yang sedang berbaring di atas katilnya secara tiba-tiba meluru keluar sambil menjerit kerana mendakwa ada seseorang membaling barang ke arahnya.

Menurut wanita berkenaan, ekoran kejadian pelik yang ke­rap berlaku, dia bercadang untuk membuang Deisy namun bertukar fikiran kerana bimbang anak patung itu akan kembali dan menyerangnya.

Malah dia pernah memusing muka anak patung ke arah dinding rumah agar tidak lagi melihat wajah yang menakutkan itu namun apabila bangun daripada tidur dia mendapati Deisy sedang merenungnya.

Berliz yang baru melahirkan anak cuba menjauhkan Deisy daripada anaknya itu namun dia bimbang anak patung ber­kenaan merasa cemburu lantas menyerang anaknya.

Bandar Callao dikatakan menjadi destinasi kegemaran anak patung yang dirasuk malah pada tahun lalu anak patung ‘Sarita’ yang dianggap ‘Annabelle Peru’ menyerang sebuah keluarga lain di bandar yang sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN