Amron angkat pencak silat - Utusan Malaysia

Amron angkat pencak silat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebaik melangkah masuk ke Balai Seni Negara baru-baru ini seorang pengunjung tertarik melihat sebuah lukisan gabungan warna kuning, merah dan oren. Pada pandangan mata kasar lelaki itu, lukisan tersebut hanya sekadar imej dua figura lelaki yang sedang mempraktikkan seni mempertahankan diri kebanggaan Melayu iaitu silat.

Namun menurut pelukisnya, Amron Omar, 61, terdapat falsafah dan makna di sebalik lukisannya yang bertajuk Pertarungan itu.

Dia adalah antara 15 pengkarya ternama tanah air yang terlibat pada pameran seni berjudul Di Antara Itu dan Ini di Balai Seni Negara, Jalan Temerloh, Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada pameran tersebut, Amron memaparkan sebanyak tiga koleksi lukisannya yang baharu pada tahun ini.

Menurut Amron, olahan yang didapatinya ketika berdepan dengan persoalan dalam diri sudah memadai untuk dijadikan idea berkarya.

Biarpun boleh dikatakan kesemua karyanya itu agak sama antara satu sama lain, namun menariknya, karya catan, lukisan dan sketsa yang dihasilkannya itu mampu berlarutan dan bersambung.

Selain mudah untuk dihayati, setiap karya itu diilhamkan dari refleksi dirinya sendiri ketika bertarung dalam mencari jawapan tersendiri.

“Saya menggunakan simbolik pertarungan silat pada lukisan ini kerana ia satu seni mempertahankan diri yang rapat dengan orang Melayu dan mudah difahami.

Cabaran

“Motif yang hendak disampaikan adalah, masyarakat tidak akan lari daripada bertarung dengan diri sendiri terutamanya orang Melayu harus bijak dalam menonjolkan diri sendiri,” kata Amron yang lebih 40 tahun terlibat dalam dunia seni lukisan.

Tambah Amron, dalam lukisan terbabit mempunyai elemen kekuatan, semangat dan berani dalam menempuh apa jua cabaran yang dihadapi.

Gaya dan jurus yang diluahkan dalam bentuk tersendiri bukan sekadar luahan semata-mata kerana ia lebih daripada sekadar konflik yang timbul.

Ketika ditemui, anak bongsu daripada 13 adik-beradik itu berkata, untuk menghasilkan karya-karya berbentuk kekuatan dan pergerakan harus mempunyai stamina yang kuat.

“Saya melukis secara berdiri dan mengambil masa berjam-jam. Oleh itu sebagai seorang pelukis saya juga bersukan untuk menambah stamina.

“Perkara penting bagi saya ketika melukis adalah perlunya penelitian yang tajam, stamina dan merasai sendiri perkara itu kerana ia akan menghasilkan karya yang ada jiwa,” jelas pelukis yang berasal daripada Alor Setar, Kedah itu.

Bekas graduan Universiti Teknologi Mara itu menjelaskan, dia melakar setiap karyanya menggunakan pensel terlebih dulu sebelum diwarnakan menggunakan cat minyak atas kanvas.

“Warna merupakan elemen paling penting yang menghidupkan sesuatu karya dan ia mengandungi maksud tertentu di sebalik pemilihannya,” katanya.

Jelas Amron, setiap koleksi yang dipamerkan kebiasaannya terdapat lukisan figura secara tidak formal.

Amron memahami dua perkara penting tentang melukis figura iaitu yang pertama tentang menggunakan kaedah graf/grid dan keduanya tentang tona warna kulit.

“Bila saya buat kerja, saya tidak fikir jemu. Saya nak buat sesuatu yang bukan sekadar persembahan semata-mata.

“Selama 30 tahun saya berkarya, tiada satupun karya yang sama. Bila saya tengok kembali lukisan yang telah saya hasilkan sepanjang berkarya, membuatkan saya kehairanan,” katanya.

Hal tersebut juga berlaku hasil daripada kemahiran kawalan, kematangan dan kepekaan tinggi beliau dalam penggunaan bahantara dan medium seni yang digunakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN