SEREMBAN – Keadaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun semakin sihat dan pulih, kata isterinya, Wan Hasni Wan Yusof.
Beliau berkata, Aminuddin sedang berehat di kediaman rasmi dan berada dalam keadaan sihat setelah selamat menjalani pembedahan jantung di Hospital Serdang, Selangor pada 26 Oktober lepas.
“Sebelum ini, doktor pakar nasihatkan untuk masuk ke hospital semula kerana khuatir dengan kesihatan dia yang baru sahaja dalam proses pemulihan selepas pembedahan.
“Sepanjang tempoh dalam rawatan di hospital berkenaan, keadaan kesihatannya semakin sihat dan doktor menasihatkan supaya dia perlu banyak berehat bagi mempercepatkan proses pemulihan,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Majlis Konvensyen Dan Anugerah Cemerlang Program Bimbingan Seni Budaya Sesi 2017/2018 di sini hari ini.
Wan Hasni juga berkata, Aminuddin akan kembali menjalankan tugas rasminya sebagai menteri besar dalam masa terdekat. – Bernama










