PUTRAJAYA – Kepentingan rakyat perlu diambil kira terlebih dahulu sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan untuk menaikkan tambang bas.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya akan membawa perkara tersebut dalam Majlis Kos Sara Hidup yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
“Kita kena buat satu keputusan yang mempertimbangkan permintaan kedua-dua pihak daripada pihak operator bas dan orang ramai, jadi kita akan pastikan apa-apa keputusan yang kita buat itu tidak bebankan rakyat.
“Tetapi pada masa yang sama apa yang kita harapkan operator bas tingkat tahap keselamatan, jadi apabila mereka tingkat keselamatan sudah tentu kos meningkat itu yang kita akan pertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudddin Jaafar; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Sharifuddin Kassim; Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Datuk Suriani Ahmad dan Pengarah Urusan Sirim QAS International Sdn. Bhd., Mohd. Azanuddin Salleh.
Kelmarin Kamarudin menjawab soalan Datuk C Sivarraajh (BN MIC-Cameron Highlands) berhubung kenaikan tambang bas disebabkan kos operasi yang tinggi pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjelaskan Kementerian Pengangkutan mempertimbangkan kenaikan kadar tambang bas ekspres dalam lingkungan antara 10 sehingga 30 peratus.
Ujarnya, semakan mendapati kenaikan kadar tambang terakhir adalah pada 2009 iaitu sebanyak 31 peratus.
Kenaikan daripada 6.5 sen kepada 8.5 sen sekilometer selain surcaj 0.8 sen sekilometer dikenakan sejak 2015, menjadikan keseluruhan kenaikan adalah 9.3 sen sehingga hari ini.
Dalam pada itu Anthony berkata, perkara tersebut masih lagi dalam peringkat cadangan dan kementerian akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan terlebih dahulu.
“Jadi di Kementerian Pengangkutan belum buat keputusan muktamad, kita akan beri penjelasan kepada rakyat apabila kita buat keputusan nanti,” jelas beliau. – K! ONLINE










