Alternatif untuk perokok - Utusan Malaysia

Alternatif untuk perokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNTUK seseorang perokok berhenti merokok, akan wujud simptom-simptom negatif seperti cepat meradang, merengus, tidak sabar dan sebagainya. Bunyi macam merrepak menyebelahi perokok? Tidak, jika kita memperakui isu obesiti misalnya, maka disarankan kaedah pemakanan dan perubahan gaya hidup. Begitu juga masalah ketagihan merokok. Kena ada saranan kaedah berhenti yang sistematik tanpa mengakibatkan pula kesan negatif pada diri perokok. Logik?

Baru-baru ini saya membaca laporan kaji selidik yang dilakukan oleh syarikat kaji selidik Ipsos pada bulan September 2018 berjudul “Sikap Terhadap Alternatif Bebas Asap Rokok dan Kesihatan Awam: Kaji Selidik Malaysia’’. Berikut adalah antara hal yang menarik mata:

1. 88 peratus responden berpendapat rokok alternatif adalah satu kaedah menyokong usaha-usaha lain yang mahu mengurangkan kesan buruk akibat tabiat merokok.

2. 85 peratus responden percaya bahawa mereka seharusnya diberi akses kepada opsyen rokok alternatif jika produk itu diketahui mampu mengurangkan risiko merokok.

3. Sekurang-kurangnya 85 peratus responden Malaysia percaya bahawa kerajaan seharusnya melakukan sebaik-baiknya untuk menggalakkan pertukaran kepada rokok alternatif.

4. Telah wujud kemajuan besar dari segi teknologi dalam aspek rokok alternatif, terutama dalam kewujudan kategori produk tembakau yang dipanaskan (heat-not-burn)- yang menggunakan teknologi pemanasan haba dan bukannya pembakaran seperti IQOS yang popular di Jepun dan Korea Selatan.

5. Manfaat rokok alternatif ialah wap yang dikeluarkan, bukan asap; tiada bau dan risiko kesihatan lebih rendah.

Sememangnya teknologi ini membawa satu revolusi kepada industri rokok alternatif dan beberapa kajian saintifik setakat ini menunjukkan perkembangan yang menggalakkan bahawa penggunaan teknologi produk tembakau yang dipanaskan ini mampu membawa pengurangan risiko kesihatan yang berkaitan dengan rokok. Terdapat kajian saintifik menunjukkan apabila rokok dibakar akan mengeluarkan asap yang mengandungi pelbagai bahan kimia yang berbahaya, dan kadarnya berkurang apabila ia tidak dibakar tapi dipanaskan sahaja.

6. Teknologi alternatif kepada rokok terutamanya produk tembakau yang dipanaskan telah dicuba dan dilaksanakan di Jepun dengan jayanya. Kira-kira 20 peratus penurunan daripada segi penggunaan rokok telah dicatat dalam tempoh tiga tahun ini.

7. Kajian terhadap alternatif kepada rokok ini masih berterusan termasuk dalam penggunaan kaedah tradisional seperti pelekat nikotin, gula-gula getah, vape dan sebagainya.

8. Matlamat utama kewujudan teknologi alternatif kepada rokok ialah berhenti merokok sama-sekali, dan kewujudan teknologi baru ini patut diuar-uarkan kepada semua.

Kebetulan pula kelmarin dalam ruangan Forum muka 20 Utusan Malaysia, seorang isteri menceritakan kisah suaminya yang sukar berhenti tabiat merokok sejak 37 tahun lalu. Pengenalan rokok alternatif dua tahun lalu, telah mengubah gaya hidup mereka sekeluarga.

“Produk alternatif tembakau dipanaskan yang popular di Korea Selatan dan Jepun sebagai contoh, tiada abu atau asap. Bau rokok yang dahulunya mencemar baju kerja suami pun tiada lagi.

“Sememangnya mengelak daripada mula merokok atau berhenti merokok adalah tindakan yang terbaik. Namun bagi mereka yang tetap bertarung dengan ketagihan ini, semua kaedah termasuk produk alternatif mempunyai peranan penting dan wajar dipertimbangkan,’’ tulis wanita itu.

Saya tidak berminat pula berhujah berapa negara akan rugi daripada segi cukai yang dibayar oleh syarikat rokok. Faktanya, syarikat rokok di Malaysia sudah banyak tutup kedai dan menumpukan pengeluaran di negara jiran. Mereka tewas akibat rokok seludup, kesan langsung daripada harga rokok yang tinggi di negara ini, dan juga sukarnya mengawal selia pantai negara yang luas.

Mungkin kerajaan harus mengkaji dengan lebih mendalam kajian-kajian saintifik yang telah dibentangkan di peringkat antarabangsa mengenai alternatif kepada rokok dan mungkin sistem percukaian yang lebih efektif perlu diguna pakai secara konsisten untuk memastikan ada insentif untuk perokok tegar konvensional berubah kepada alternatif seperti produk tembakau tanpa asap jika benar risiko kepada kesihatan adalah lebih rendah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN