Alkisah ibu tunggal - Utusan Malaysia

Alkisah ibu tunggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABTU lalu di hadapan sebuah bank di Shah Alam, saya disapa oleh seorang wanita yang menjual beraneka jenis kuih dan kek di situ.

“Belilah puan, ini semua saya buat sendiri,” katanya penuh berharap. Saya sebenarnya ketika itu tidak ada selera untuk melihat makanan. Mungkin banyak perkara bermain dalam kepala. Selera saya bagaikan dipotong-potong. Saya hanya senyum padanya dan berlalu.

Kemudian saya lalu lagi di hadapannya, selepas urusan dalam bank selesai. Saya lihat dia termenung melihat kuih muih jualannya. Masih banyak tidak terjual. Ah! Tidak apalah, tidak ada selera pun belilah, nanti-nanti pun boleh makan, kata saya dalam hati.

Bila saya mencapai beberapa peket kuih, terus wajahnya yang suram, bagaikan bercahaya. Cepat-cepat dia membungkuskan kuih yang saya beli.

“Anak saya ada di UiTM. Dia tidak tahu saya jual kuih. Kalau dia tahu, dia tak nak belajar. Dia tidak mahu saya penat-penat cari duit. Dia mahu kerja, tak nak sambung belajar,” katanya.

Wanita yang mungkin juga sebaya dengan saya itu memberitahu, dia ialah seorang ibu tunggal.

Tambahnya, anaknya yang paling kecil sedang mengambil peperiksaan SPM. Katanya lagi, dia mahu anaknya belajar tinggi, sekurang-kurangnya dapat diploma.

Ya, kata saya, pelajaran itu amat penting. Tidak kisahlah anak-anak bekerja apa nanti selepas habis dapat ijazah atau diploma. Yang penting, kita sudah beri mereka pelajaran di peringkat tinggi.

Saya sudah mendengar, banyak cerita pasal kecekalan ibu tunggal. Cerita-cerita tentang wanita yang tidak mengalah untuk membesarkan anak-anak walaupun sebenarnya diri sendiri sudah cukup lelah tetapi yang membuatkan mereka kuat hanyalah semangat.

Semangatlah yang membuat mereka melawan rasa letih, sakit dan kepayahan dalam memenuhi keperluan anak-anak dan memberikan kehidupan yang lebih baik pada masa depan.

Berapa ramai dalam kalangan kita menyedari kesusahan seorang ibu tunggal? Ibu tunggal ini bermakna dia hanya ada dirinya dan anak-anak untuk diuruskan dalam hidup. Kadang-kadang tanpa dapat perhatian daripada keluarga sendiri, sanak saudara apatah lagi kawan.

Tetapi itulah, dalam meredah ini semua, berapa ramai pula memperlekeh dan mempersendakan ibu tunggal dengan gelaran-gelaran yang tidak sepatutnya?

Pantang dengar ibu tunggal, bermacam benda entah apa-apa bersarang dalam fikiran. Ini kebanyakan mentaliti orang kita. Tidak kira lelaki atau perempuan.

Dan berapa ramai yang suka mengambil kesempatan de­ngan kehidupan seorang ibu tunggal? Menambah derita mereka?

Entahlah, jika tidak boleh membantu bagi saya lebih baik duduk diam-diam. Bukan susah pun mahu jadi baik. Duduk diam saja, kalau tidak reti buat apa-apa.

Saya berharap YB-YB prihatin tentang nasib ibu tunggal di kawasan masing-masing. Ramai dalam kalangan mereka tidak tahu bantuan macam mana yang mereka boleh dapat. Peruntukan ada, tapi tidak memanfaatkan sesiapa pun, tidak guna juga.

Dan saya sentiasa mendoakan semua ibu tunggal yang berani dan cekal ini dipermudahkan, dilindungi dan mendapat rahmat Allah yang maha luas. Amin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN