TEMERLOH 14 Nov. – Meskipun cuaca cerah, keadaan banjir di Kampung Batu Kapor dan Kampung Sungai Buloh di sini masih tidak berubah.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, selain beberapa buah rumah masih ditangkungi air, terdapat satu laluan kampung yang ditenggelami air tetapi masih boleh dilalui oleh kenderaan ringan.
Ketua Balai Bomba Mentakab, Mohd. Kamarudin Mohd. Saufi berkata, pada masa air sungai berada dalam keadaan menurun pada paras 50.09 meter berbanding 50.19 pada awal pagi ini.
“Kita terus melakukan pemantauan berterusan dan pada masa ini arus air Sungai Semantan deras mengalir ke Sungai Pahang dan merekodkan trend menurun.
“Walaupun tiada hujan di sini tetapi hujan di Raub dan Bentong menyebabkan air di sungai di sini masih melimpah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seramai 49 orang daripada lapan keluarga dari Kampung Sungai Kepong dan Kampung Batu Kapor dipindahkan ke pusat pemindahan sementara sejak semalam selepas rumah mereka dinaiki air akibat limpahan Sungai Semantan.
Dalam pada itu, seorang mangsa, Amsyar Hakimi Abdul Ghani, 20, berkata, dia dan isteri serta dua anaknya berpindah semalam selepas air mula memasuki rumahnya.
“Air naik terlalu cepat semalam yang mana hanya dalam masa setengah jam air sudah sampai ke paras lutut dan saya terpaksa berpindah,” katanya. – UTUSAN ONLINE










