apakah yang akan berlaku apabila kecanggihan sistem komputer mampu memahami dan seterusnya mengawal pemikiran golongan manusia yang dilabelkan sebagai ‘pengganas agama’?
Sistem canggih komputer yang dimaksudkan itu ialah kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI).
Sebagaimana diketahui umum, AI adalah kajian kejuruteraan mesin pintar yang mampu melakukan fungsi dan ciri-ciri pemikiran manusia.
Konsep AI bermula dari zaman purba, tetapi kemunculan komputer digital pada abad ke-20 membawa konsep tersebut kepada suatu kemungkinan masa depan bahawa pada suatu hari kelak, kepintaran komputer mampu menyamai kecerdasan otak manusia.
Istilah AI telah diterapkan ke dalam program dan sistem komputer yang mampu melakukan tugas-tugas yang lebih kompleks berbanding program komputer biasa, walaupun masih jauh dalam menandingi pemikiran manusia.
Biarpun belum mampu menyamai kepintaran manusia, AI kini telah digunakan secara meluas dalam bidang-bidang seperti pemprosesan maklumat, permainan komputer, keselamatan negara, perdagangan elektronik, politik dan sistem diagnostik perubatan.
Terkini, AI bakal muncul sebagai ‘pengawal’ pengganas agama daripada melakukan tindakan ganas yang selama ini telah mencetuskan pelbagai masalah serius dalam kehidupan manusia sejagat.
Menurut suatu hasil kajian terbaharu di Universiti Oxford, Britain, AI dapat digunakan bagi membantu manusia untuk lebih memahami faktor-faktor di sebalik keganasan yang dilakukan berkaitan agama dan berpotensi untuk mengawalnya.
Kajian tersebut merupakan antara yang pertama kali dihasilkan dengan menggunakan apa yang dilabelkan sebagai ‘AI realistik secara psikologi’.
Bagi merealisasikannya, kumpulan penyelidik berkenaan telah menggabungkan ‘pemodelan komputer’ dan ‘psikologi kognitif’ untuk mewujudkan apa yang dikenali sebagai ‘sistem AI multi-agen’ yang didakwa berkeupayaan menyelami pemikiran dalaman manusia berkaitan agama.
Pemodelan komputer
Pemodelan komputer merupakan proses menggunakan komputer untuk membuat model pelan (reka bentuk), terutamanya bagi mengetahui cara membuat atau memperbaiki sesuatu produk dan dalam kes ini produk yang dimaksudkan ialah pemikiran dalaman manusia tentang agama berkenaan.
Psikologi kognitif pula adalah cabang bidang psikologi tentang proses mental (persepsi, pemikiran, pembelajaran dan ingatan) berkaitan dengan apa yang tercetus dalam otak manusia ketika rangsangan deria mencetuskan tindakan kelakuan fizikalnya.
Kajian yang diketuai saintis, Justin Lane itu telah mengaplikasikan sistem AI multi-agen untuk mengkaji tentang persoalan sama ada manusia secara semulajadinya adalah spesies yang ganas atau sebaliknya cintakan keamanan.
Penyelidikan juga dilakukan bagi mengkaji adakah faktor keagamaan boleh mencetuskan ketegangan di dalam pemikiran individu khususnya bagi menyemarakkan sikap prejudis terhadap masyarakat di negara lain.
“Kajian juga merangkumi isu tentang kebimbangan yang wujud antara kumpulan agama yang berlainan,” ujar Lane.
Bahan kajian penyelidikan tersebut ialah dua tragedi keganasan yang dikaitkan dengan agama dan yang telah menggemparkan dunia.
Pertama, konflik keganasan atau dikenali sebagai The Troubles yang berlangsung selama 30 tahun di Ireland Utara sejak tahun 1960-an yang telah meragut kira-kira 3,500 nyawa dan 47,000 yang lain mengalami cedera.
Subjek kajian kedua ialah tragedi rusuhan selama tiga hari di Gujarat, India membabitkan penganut Hindu dan Islam pada 2002 yang menyaksikan lebih 2,000 nyawa melayang.
Lane bagaimanapun menegaskan, hasil kajian tersebut juga boleh diaplikasikan untuk sebarang tragedi keganasan berkaitan agama yang lain, terutamanya yang dicetuskan puak radikal Islam yang dilabelkan Lane sebagai melakukan tindakan bertentangan dengan ajaran sebenar agama mereka.
Penemuan-penemuan tersebut yang disiarkan dalam The Journal of Society for Artificial and Stimulation Social bertarikh 31 Oktober 2018, menunjukkan bahawa manusia secara amnya merupakan spesies yang cintakan keamanan.
“Biarpun cintakan keamanan, namun setiap manusia berpotensi untuk menyokong kekerasan dalam pelbagai konteks, terutama ketika individu atau kumpulan lain menentang kepercayaan teras yang menjadi identiti mereka.
Lane berkata, percubaan menggunakan AI untuk memahami keganasan agama telah membawakan hasil yang bercampur-aduk.
“Secara amnya dalam menggunakan AI untuk memahami tentang agama atau budaya manusia, kita harus melihatnya dari aspek pemodelan psikologinya.
“Ini kerana psikologi manusia adalah asas untuk agama dan kebudayaan.
“Jadi, akar penyebab kepada sikap negatif dalam pemikiran setiap individu sehingga menjadikan mereka sebagai pencetus keganasan agama sebenarnya bergantung kepada bagaimana minda memproses maklumat yang diberikan oleh dunia persekitaran yang dihuni mereka.
Menurut Lane, memahami sebab utama keganasan agama melalui AI membolehkan ia dijadikan model untuk meminimumkan konflik tersebut.
“Hasil penyelidikan ini boleh menjadi alat positif dalam menyokong masyarakat untuk menjadi lebih stabil,” tegasnya.










