Ahmad Faizal ikrar berikan terbaik - Utusan Malaysia

Ahmad Faizal ikrar berikan terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR 4 Nov. – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berikrar memperkukuhkan pentadbiran kerajaan negeri dengan kerjasama penjawat awam dalam memberikan yang terbaik untuk memaju dan memakmurkan negeri ini.

Beliau berkata, tanggungjawab terhadap rakyat dan negeri itu akan digalas dengan penuh ketelusan dan amanah, bebas daripada gejala rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa.

“Kerajaan negeri juga akan terus menjunjung prinsip-prinsip dasar yang telah termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Ini merangkumi kedudukan­ Islam sebagai agama rasmi Per­sekutuan dan menjamin kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan menjamin hak bahasa ibunda, kedaulatan institusi raja-raja Melayu, kedudukan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera serta hak-hak semua kaum yang dijamin oleh Perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sembah ucapan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata, sebagai manusia biasa, beliau dan barisan pentadbiran kerajaan ne­geri juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

Malah Ahmad Faizal berkata, sebagai pentadbiran yang baharu, beliau dan jentera pentadbiran negeri sedang berusaha untuk memenuhi segala harapan rakyat.

“Hari ini genap 177 hari patik menjunjung amanah pentadbiran negeri yang dinaungi Duli Tuanku. Adat manusia tiada sempurna, terkadang terkhilaf dan terlanjur bicara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN