Ahli politik, agamawan banteras Macau Scam - Utusan Malaysia

Ahli politik, agamawan banteras Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK akhir-akhir ini kes penipuan internet Macau Scam semakin menjadi-jadi. Hampir setiap hari kes ini dilaporkan dalam media massa dan media sosial. Ada sahaja mangsa baharu ‘kecundang.’ Dahulu sasaran mangsa adalah orang tua, pesara dan ‘wanita solo pencari cinta’ hari ini mangsanya adalah sesiapa sahaja melangkaui umur, latar belakang pendidikan dan kerjaya. Terbaharu golongan profesional seperti doktor dan akauntan turut ‘dibaham’ sindiket ini.

Sindiket ini memang up-to-date dan sangat mengikut perkembangan dunia semasa. Mereka menipu dengan menggunakan isu semasa seperti tunggakan hutang bank, saman kesalahan lalu lintas, tunggakan cukai pendapatan, hutang cukai kastam serta terlibat dalam pengubahan wang haram.

Taktik menggunakan ayat-ayat cinta serta dakwaan anak raja atau pembesar dari benua Afrika sudah tidak laku lagi. Lebih berani lagi mereka menyamar sebagai pegawai polis atau pegawai penguat kuasa daripada agensi tertentu bagi meyakinkan lagi mangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Anehnya mangsa yang tidak pernah mempunyai syarikat, tidak pernah berniaga, tidak memiliki kenderaan serta tidak pernah tahu apa makna ‘pengubahan wang haram’ boleh cepat percaya dan menggelabah. Sebahagiannya adalah golongan cerdik pandai dan profesional. Oleh kerana panik, tanpa berfikir panjang mereka mengikut sahaja arahan ahli-ahli sindiket yang bercakap bahasa Melayu dan bahasa Inggeris pun ‘lintang-pukang’ memindahkan sejumlah besar wang kepada sindiket ini. Habis lesap wang simpanan seumur hidup untuk hari tua! Kerugian bukan kecil malah mencecah puluhan atau ratusan ribu ringgit.

Walaupun banyak juga tangkapan dilakukan dan penjenayah dikenakan hukuman penjara dan sebatan, sindiket ini masih ‘mengganas’. Mereka tidak serik dan tidak takut dengan undang-undang. Ada sahaja kes baharu dilaporkan. Peningkatan angka kes seolah-olah menunjukkan pihak berkuasa tewas dalam memerangi sindiket ini. Sindiket ini licik dan untuk mendepani kes-kes penipuan dalam talian bukan satu kerja mudah. Apatah lagi kalau sindiket beroperasi di negara jiran atau negara luar yang menyukarkan lagi untuk dikesan. Risikan dan siasatan juga mungkin memakan masa lama.

Satu cara yang dilihat boleh dilakukan ialah menerusi kempen kesedaran berterusan tentang bahaya penipuan internet termasuk Macau Scam. Masyarakat perlu dididik dan didedahkan bagaimana untuk berhadapan dan bertindak balas ketika menerima panggilan telefon misteri daripada orang yang tidak dikenali lebih-lebih lagi apabila mereka mendakwa dari bank atau daripada pegawai penguat kuasa.

Sebahagian daripada tugas ini sebenarnya sudah dilaksanakan oleh media massa dan agensi penguat kuasa terlibat seperti polis, kastam dan pihak bank sendiri. Bagaimanapun itu belum mencukupi. Kesedaran tentangnya masih rendah mungkin kerana ada yang melihat isu ini sebagai remeh dan bukan isu mendesak. Pelaksanaan kempen kesedaran ini perlu diperhebatkan sebagaimana kempen antimerokok, antidadah dan antirasuah. Tanggungjawab ini perlu dipikul sama oleh mereka yang dekat dengan masyarakat seperti ahli-ahli agama dan ahli-ahli politik.

Salah satu medium paling berkesan ialah menerusi khutbah Jumaat atau ceramah agama. Isu ini mungkin sudah pernah disentuh dalam khutbah atau ceramah sebelum ini tetapi tidak begitu berkesan. Mungkin kerana disentuh secara sambil lalu dan tidak terperinci. Setiap masjid atau surau di seluruh negara boleh mengutarakan lagi isu yang sama dalam khutbah masing-masing secara terus menerus beberapa minggu bagi memberi impak kesedaran yang berkesan kepada para jemaah. Teks khutbah boleh disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau majlis agama negeri masing-masing. Pihak masjid juga boleh memanggil pakar-pakar dalam kes ini bagi menyampaikan khutbah atau ceramah.

Pendekatan memberi khutbah atau ceramah agama secara berterusan dalam isu-isu mendesak pernah dibuat sebelum ini bagi mengumpul dana bantuan dalam isu-isu kemanusiaan dan bencana alam dan terbukti memberi kesan. Oleh kerana solat Jumaat itu wajib dan dengan jumlah audiens yang besar, insya-Allah kempen kesedaran tentang bahaya Macau Scam akan melekat dalam fikiran para jemaah dan berjaya.

Tanggungjawab yang sama juga perlu dipikul oleh pemimpin dan ahli parti politik. Mereka adalah golongan yang paling dekat dengan rakyat. Setiap hari dari pagi sehingga tengah malam dan kadang kala menjelang subuh ada sahaja program bersama rakyat. Pemimpin politik yang bagus akan menjadi tumpuan rakyat. Rakyat sentiasa menunggu kemunculan mereka di dalam apa sahaja majlis. Nama lagi ahli politik, ceramah dan kempen berpisah tiada. Inilah forum paling berkesan untuk saling membantu menangani kes-kes jenayah internet ini.

Kalau selama ini mereka boleh berceramah siang malam, mengutuk, mencerca dan menghentam lawan masing-masing, tidak salah kalau sesekali topik ceramah beralih kepada isu lebih berfaedah kepada orang ramai. Walaupun isu Macau Scam tidak selunak isu menghentam musuh politik, manfaatnya besar dan meluas. Ahli-ahli politik tidak kiralah pada peringkat kepemimpinan atau bertaraf pemimpin biasa perlu sama-sama melaksanakan tanggungjawab ini. Lagipun pilihan raya sudah lama berakhir dan semua orang mahu meneruskan hidup seperti biasa. 


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×