ADUN BN, Pas keluar dewan protes Ku Abdul Rahman - Utusan Malaysia

ADUN BN, Pas keluar dewan protes Ku Abdul Rahman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 13 Nov. – Kesemua 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Pas keluar dari Dewan DUN sebaik sahaja ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail diberi peluang untuk membahaskan rang undang-undang perbelanjaan negeri 2019, di sini hari ini.

Ketua Pembangkang, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tindakan itu dilakukan atas semangat setiakawan bagi menentang budaya lompat parti seperti yang dilakukan oleh Ku Abdul Rahman apabila beliau membuat keputusan untuk meninggalkan UMNO dan menyokong kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH), semalam.

“Walaupun berbeza parti, kami di blok pembangkang bersatu hati menentang budaya lompat parti selain tindakan PH yang sentiasa cuba memujuk wakil rakyat pembangkang sama ada di peringkat DUN atau Parlimen untuk mengukuhkan komponen mereka.

“Bagi kami ini tindakan yang mengkhianati pengundi dan kita mesti tunjukkan penentangan terhadapnya. Ini cara kami menggambarkan penentangan itu,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Tambahnya, tindakan itu juga secara tidak langsung menunjukkan kesatuan dalam kalangan blok pembangkang di negeri ini.

“Kesatuan antara kami tetap utuh. Silap-silap boleh jadi kerajaan jika blok kerajaan berpecah,” katanya.

Sementara itu ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob berkata, beliau berterima kasih serta mengalu-alukan kesatuan ditunjukkan ADUN-ADUN Pas dari blok pembangkang.

“Apa yang dilakukan Ku Abdul Rahman jelas tidak menghormati parti dan blok pembangkang kerana melompat ketika sidang DUN sedang berjalan.

“Tiada surat kepada Presiden parti dan saya bersetuju dengan kenyataan ketua pembangkang semalam yang mengatakan tindakan tersebut adalah perbuatan pengecut kerana keluar dari parti sewaktu dalam kesusahan,” katanya.

Dalam pada itu Ku Abdul Rahman di akhir perbahasannya mendakwa apa yang dilakukanya merupakan satu penghijrahan yang amat sukar dilakukan.

“Islam pun menggalakkan umatnya berhijrah. Saya memohon maaf kepada Suraya dan Norsabrina Mohd. Noor (BN-Bandar Baharu) kalau mereka merasa kecil hati,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN