KUALA LUMPUR 31 Okt. – Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) menerima 3,266 aduan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini dengan pertikaian bil merupakan yang paling tinggi.

Pengerusinya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, selain itu pengguna juga turut mengadu masalah gangguan perkhidmatan, tiada liputan untuk perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dan liputan 4G/LTE yang tidak memuaskan.
Menurut beliau, masalah telekomunikasi seperti perkhidmatan selular antara yang paling kerap dilaporkan diikuti dengan jalur lebar berkelajuan tinggi dan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar.
“Kebanyakan aduan yang diterima adalah disebabkan masalah pertikaian bil dan isu tentang gangguan perkhidmatan. Selain itu, aduan berkaitan harga juga mencatatkan peningkatan yang paling ketara sejak Ogos lepas dengan 13 aduan diterima.
“Jumlah itu meningkat kepada 64 aduan pada September susulan penurunan harga perkhidmatan jalur lebar yang disarankan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo selepas pelaksanaan Standard Mandatori bagi Harga Capaian (MSAP) pada Jun lepas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohamad Yusrizal, suku ketiga mencatatkan jumlah aduan paling tinggi iaitu sebanyak 1,496 aduan berbanding suku pertama iaitu sebanyak 966 aduan dan suku kedua sebanyak 804 aduan.
Katanya, CFM berjaya menyelesaikan 86 peratus aduan dalam tempoh kurang daripada 15 hari seperti yang ditetapkan di dalam Kod Amalan Am Pengguna untuk Industri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (GCC).
Mohamad Yusrizal juga turut menasihati pengguna agar sentiasa mendapatkan maklumat yang mencukupi terutama dalam memilih perkhidmatan telekomunikasi dan tidak hanya tertarik kepada tawaran harga yang lebih murah.
“Para pengguna perlu melihat kepada kualiti servis yang disediakan oleh pihak penyedia perkhidmatan. Pengguna perlu membaca terma dan syarat selain bertanya soalan kepada penyedia perkhidmatan sebelum melanggan.
“Penyedia perkhidmatan perlu memberikan maklumat yang tepat kepada setiap pelanggan agar isu berkaitan telekomunikasi dapat dikawal di peringkat awal,” jelasnya.











