SEPANG 2 Nov. – Pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin memulakan aksinya pada Grand Prix Motosikal Malaysia 2018 dengan langkah kanan selepas mencatat masa kelima terpantas pada sesi latihan bebas pertama (FP1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sebentar tadi. Anak muda yang mewakili pasukan Petronas Sprinta Racing itu mencatat masa sepusingan 2 minit 25.794 saat (s). Pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvap dari Honda Team Asia mengungguli FP1 dengan lakaran masa sepusingan 2:25.290s, manakala Aron Canet dari Sepanyol di kedudukan kedua (1:25.442s) dan Marco Bezzecchi di tempat ketiga (2:25.512s). Sementara itu, dua lagi pelumba negara iaitu Hafizh Syahrin Abdullah dan Khairul Idham Pawi yang turut turun ke trek untuk FP1 sekadar memulakan saingan dengan keputusan sederhana dalam kelas masing-masing. Hafizh yang beraksi dalam kelas utama MotoGP bersama pasukan Monster Yamaha Tech 3 melengkapkan aksinya di tangga ke-17 menerusi catatan masa sepusingan terbaik 2:01.419s. Bagi pelumba Idemitsu Honda Team Asia, Khairul Idham pula yang bersaing dalam kelas Moto2 berada di kedudukan ke-19 dengan masa sepusingan 2:09.831s. – UTUSAN ONLINE










